Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mara ke perlawanan akhir Piala Tan Sri P. Alagendra selepas menidakkan cabaran Universiti Kuala Lumpur (UniKL), 3-1, di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Terengganu Hockey Team (THT) bakal menjadi rintangan akhir mereka malam esok selepas seteru itu menundukkan TNB Thunderbolt 3-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir sebentar tadi.

KLHC melangkah ke perlawanan akhir buat kali pertama hasil jaringan padang pemain import mereka, Joshua Pollard, pada minit ke-11 dan dua lagi gol KLHC diledak oleh import Korea Selatan mereka, Jang Jonghyun, menerusi pukulan stroke pada minit ke-41 dan pukulan sudut penalti pada minit ke-55.

Pengendali KLHC, Lim Chiow Chuan, nyata puas hati dengan prestasi baik yang telah ditampilkan oleh anak-anak buahnya selain memuji dua pemain import mereka -- yang baru sahaja tiba beberapa jam sebelum perlawanan -- banyak membantu pasukan.

Chiow Chuan gembira kerana kelemahan dalam perlawanan suku akhir telah diatasi anak-anak buahnya.

“KLHC bermain dengan bagus dan kehadiran dua pemain import kami, Nicholas James Budgeon dan Joshua Pollard, beberapa jam sebelum perlawanan banyak membantu pasukan. Komitmen serta usaha yang mereka tunjukkan sangat-sangat bagus selain kehadiran mereka banyak mengimbangi pasukan.

“Dalam perlawanan yang lepas, saya telah mengenal pasti kelemahan kami dan hari ini pemain telah berjaya memperbaikinya serta menunjukkan peningkatan selain mengikut segala perancangan yang telah saya aturkan,” kata bekas penolong jurulatih skuad hoki lelaki negara itu.

THT menepati ramalan untuk meneruskan kemaraan, namun kejayaan mereka tidak datang dengan mudah ketika berdepan TNB Thunderbolts yang 100 peratus menggunakan kudrat bakat tempatan.

Seawal minit pertama, THT sudah berada di depan menerusi pukulan sudut penalti Gonzalo Peillat.

Tersentak dengan itu, Thunderbolts mempamerkan corak permainan lebih tersusun. Begitupun, skuad kendalian Amin Rahim itu hanya dapat mencipta jaringan pada suku kedua hasil gol padang Azril Misron.

Kedudukan seimbang itu, bagaimanapun, tidak kekal lama apabila jaringan padang Joaqin Menini kembali meletakkan THT di depan.

Permainan terus rancak dalam suku ketiga dengan Thunderbolts lebih banyak menyerap asakan THT dalam usaha mencari ruang melakukan serangan balas.

Situasi sama turut berlaku dalam suku terakhir apabila THT mendapat penalti stroke selepas Faizal Saari dijatuhkan Muhammad Faiz Aiman dalam kawasan D.

Peillat mudah menyempurnakan peranannya bagi memastikan kemenangan mutlak buat THT untuk selangkah sahaja lagi mengulangi pencapaian musim lalu.

"Kami harus memuji permainan TNB Thunderbolts, mereka bermain dengan cukup baik sekali.

"Mereka bertahan dengan begitu baik sambil melancarkan serangan balas dan serangan kami pula kerap dipatahkan penjaga gol.

"Ini boleh berlaku dalam mana-mana perlawanan. Kami mahukan kemenangan dan kami berjaya mendapatkannya.

"Kini kami perlu membuat persediaan untuk menghadapi aksi final esok," kata jurulatih THT, Sarjit Singh.