SUKAN SEA
Petanque: Skuad negara teruskan latihan tanpa Zani Lisa
Ke mana hilangnya jurulatih petanque, Zani Lisa Mohamed?
Demikian persoalan yang bermain di minda barisan atlet dan pegawai sukan petanque yang tidak mengetahui kelibat jurulatih berpengalaman itu yang masih belum melaporkan diri meskipun Sukan SEA Filipina 2019 tinggal hanya kurang 100 hari lagi.
Zani Lisa merupakan arkitek penting ketika memacu kejayaan Malaysia meraih dua pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Iklan
Jun lalu, Presiden Persekutuan Petanque Malaysia (PPM), Datuk Radzi Mansor, mengesahkan jurulatih itu akan kembali ke pangkuan skuad kebangsaan di samping Syed Ali Syed Akil sebagai persediaan untuk menghadapi temasya dwitahunan berkenaan.
Majlis Sukan Negara (MSN) juga sudah mengeluarkan surat pelantikannya bulan ini, namun beliau masih gagal melaporkan diri.
"Buat masa ini, skuad negara berlatih di bawah (kendalian) Syed Ali terlebih dahulu.
"Mengenai pelantikan Zani, kami tidak boleh memberikan keutamaan kepada perkara yang masih lagi belum pasti.
"Setiap perancangan yang telah ditetapkan harus berjalan lancar dan tidak menghadapi sebarang masalah," katanya.
Dalam masa sama, Radzi akan mengadakan satu mesyuarat bersama kesemua ahli exco dalam usaha mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Antarabangsa Petanque dan Permainan Porvencal (FIPJP) yang menggantung mereka sejak bulan lalu.
"Ia merupakan satu tindakan yang tidak relevan jika anda memiliki masalah dengan PPM, namun mencari jalan penyelesaian dengan dengan pihak lain," katanya lagi.
Ironinya, sehingga kini PPM masih tidak menerima surat rasmi mengenai penggantungan mereka daripada badan induk dunia itu dan hanya mengetahuinya daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Must-Watch Video