Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) optimis skuad silat negara mampu meraih lebih daripada dua pingat emas dalam Sukan SEA 2019 di Filipina, November depan.
Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, menegaskan walaupun skuad negara sah kehilangan beberapa emas susulan keputusan Filipina menggugurkan beberapa acara yang menjadi lubuk emas, beliau yakin barisan pesilat muda kali ini mampu meraih lebih daripada dua emas.
"Saya tidak risau langsung kerana yang pergi ke Sukan SEA kali ini adalah muka-muka baharu, iaitu juara kebangsaan yang telah melalui proses pemilihan dengan pesilat elit.
"Bila kita hantar atlet muda, mereka tidak rasa gentar kerana mereka tidak peduli siapa lawan mereka. Mereka ingin menang dan saya suka pertaruhkan barisan muda," katanya yang juga Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 selepas melawat skuad silat negara di Bangunan Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.
Terdahulu, beliau turut melawat skuad angkat berat dan memanah bersama dua timbalannya, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli, dan bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah.
Sementara itu, pesilat negara, Muhammad Faizul Nasir, menjangkakan saingan sengit daripada pesilat Singapura dan Vietnam dalam usahanya mempertahankan pingat emas kelas Putera B (50-55kg) yang dimenangi dalam Sukan SEA 2015 di Singapura dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
"Saya yakin dapat melakar emas hatrik dalam Sukan SEA nanti berdasarkan persiapan rapi yang dijalankan selama ini," jelas anak jati Petaling Jaya itu.
Dia memaklumkan skuad silat negara akan menyertai beberapa kejohanan pemanas badan sebelum menyertai Sukan SEA 2019, termasuk Kejuaraan Silat Kebangsaan di Stadium Titiwangsa, September ini.
Untuk rekod, Malaysia meraih 10 emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
-- BERNAMA