Skip to main content

Sukan Lain

Persiapan skuad renang para negara tidak terjejas

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

xinxin.jpg
Persiapan skuad renang para negara untuk menghadapi Kejohanan Dunia tahun ini tidak terjejas walaupun mereka belum mengetahui lokasi bagi menggantikan Malaysia yang sepatutnya menganjurkan saingan berkenaan.

Malaysia sebelum ini mendapat hak penganjuran daripada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) selaku tuan rumah Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang dijadualkan berlangsung di Kuching, Julai depan.

Namun, status berkenaan ditarik balik berikutan keputusan kerajaan tidak membenarkan atlet dari Israel mengambil bahagian.

Walaupun akur dengan perkembangan itu, jurulatih negara, Li Xin Xin, kekal positif kerana masih mempunyai tempoh persiapan yang memadai buat anak didiknya.

Cuma mereka terlepas peluang untuk manfaatkan kelebihan suasana kolam renang di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Kuching yang sepatutnya menjadi venue Kejohanan Dunia.

"Keputusan yang dilakukan oleh IPC ini tidak mengubah program persiapan kami kerana kami tetap akan bersedia menghadapi Kejohanan Dunia tanpa mengira siapa yang akan menjadi tuan rumah," kata Xin Xin.

Setakat ini, dua perenang sudah melepasi had kelayakan ke Kejohanan Dunia, iaitu Muhammad Nur Syaiful Zulkafli dan James Wong Tien Yu.

Nur Syaiful berlatih seperti biasa di Pusat Kecemerlangan Kampung Pandan manakala James kini berada di Australia.

Jelas Xin Xin lagi, masih ada beberapa pertandingan buat perenang yang lain untuk cuba melepasi had kelayakan untuk menyertai Kejohanan Dunia.

"Kami memiliki pertandingan di Scotland pada April nanti, disusuli sebulan kemudian di Singapura. Selepas itu kemungkinan kami akan menjalani latihan di luar negara ataupun kekal di Malaysia, bergantung kepada perancangan yang diluluskan," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video