SUKAN LAIN
Perdana Menteri seru syarikat korporat bantu suntik dana
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, menyeru agar lebih banyak syarikat korporat tampil memberikan suntikan kewangan dalam menyokong penganjuran pelbagai kejohanan sukan antarabangsa yang diadakan di negara ini seperti perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL).
Mengambil contoh Petronas, Dr. Mahathir berterima kasih kepada syarikat minyak dan gas nasional itu, yang sudi menjadi penaja utama bersama beberapa syarikat korporat lain dengan tampil memberikan sokongan kewangan bagi menjayakan edisi ke-25 perlumbaan berbasikal tahunan berkenaan yang diadakan sejak 1996.
Beliau, yang mencadangkan idea penganjuran LTdL, turut menegaskan sokongan kewangan daripada syarikat-syarikat korporat itu amat penting dalam memastikan penganjuran sesebuah kejohanan sukan antarabangsa di negara ini berjalan lancar walaupun kerajaan mempunyai peruntukan khas untuk membantu penganjur.
Iklan
"Biasanya, perlumbaan macam ini (LTdL), sama juga dengan (perlumbaan) F1 (yang) memerlukan perbelanjaan yang besar," kata Perdana Menteri selepas penyampaian pingat peringkat ketiga LTdL di depan Menara Berkembar Petronas hari ini.
Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah isteri Perdana Manteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.
Perdana Menteri turut mendedahkan penganjuran LTdL sejak 25 tahun lalu telah menarik minat ramai rakyat di negara ini untuk menjadikan aktiviti berbasikal sebagai salah satu kaedah beriadah.
Dalam perkembangan sama, Dr. Mahathir yakin pelumba Malaysia yang berbakat mempunyai peluang untuk menyertai beberapa kejohanan berbasikal terkemuka di luar negara pada masa akan datang.
"Daripada yang mengambil bahagian itu, kita akan jumpa mereka yang berbakat. Mereka perlu dilatih sehingga sampai di tahap mereka boleh berlumba dalam perlumbaan berbasikal seperti ini," tambahnya.
Pelumba pasukan NTT Pro Cycling Team, Maximilian Richard Walscheid, muncul juara peringkat ketiga dari Dataran Temerloh ke Menara Berkembar Petronas sejauh 162.5km itu.
Pelumba Itali, Riccardo Minali dari pasukan Nippo Delko Provence, dan pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Ahmet Orken dari Turki, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
-- BERNAMA
Must-Watch Video