Skip to main content

Sukan SEA

Penurunan had kelayakan beri motivasi terbaik buat atlet negara

datuk-megat-zulkarnain-omardin.jpg
Keputusan Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA menurunkan had kelayakan atlet kategori A dilihat satu tindakan tepat dalam merangsang atlet negara yang dipilih untuk melakar keputusan positif dalam Sukan SEA ke-30 di Filipina dari 30 November hingga 11 Disember depan.

Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, berkata beliau menyokong keputusan tersebut bagi memastikan tidak wujud "penumpang" dalam kontinjen negara ke temasya dwitahunan berkenaan.

Penyertaan kategori A ditaja sepenuhnya oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) manakala menerusi kategori B, persatuan sukan kebangsaan perlu mendahulukan wang perjalanan dan MOM akan membayar balik wang perjalanan berkenaan sekiranya atlet mereka meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

"Saya fikir ia juga boleh merangsang seseorang atlet dan pastinya kami hendak beri lebih banyak ruang kepada banyak persatuan sukan (kebangsaan) untuk menamakan atlet mereka.

"Saya pun sudah memaklumkan dalam pertemuan dengan pengurus-pengurus pasukan (baru-baru ini) bahawa kami tidak mahu "penumpang", tidak kira apa sukan sekalipun, walaupun sekadar hanya ingin mengambil bahagian termasuk dalam kategori B," jelas Megat ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan skuad terjun dan renang negara di Pusat Akuatik Nasional,, hari ini.

Turut hadir dalam perjumpaan berkenaan adalah Timbalan Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA 2019, Nurul Huda Abdullah.

Ditanya mengenai jumlah sasaran pingat, Megat Zulkarnain yang juga Naib Presiden MOM memaklumkan perkara berkenaan akan diumumkan dalam tempoh terdekat setelah MOM memuktamadkan jumlah sebenar atlet negara ke Sukan SEA 2019.

Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA yang bersidang baru-baru ini dilaporkan bersetuju menurunkan had kelayakan kategori A ke Sukan SEA 2019.

Pemenang pingat gangsa dalam acara individu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) akan diletakkan dalam kategori A, berbanding pemenang pingat perak sebelum ini manakala atlet yang menduduki tempat keempat dalam acara berpasukan dalam temasya KL2017, turut meraih tiket automatik kategori A.

Sukan SEA 2019 bakal melibatkan 56 acara di tiga kluster iaitu Manila, Subic dan Clark.

 
-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video