Serena Williams berkata penonton di Stadium Arthur Ashe memainkan peranan penting ketika dia menewaskan Karolina Pliskova 6-4, 6-3 dalam saingan Terbuka AS, sebentar tadi.
Dua tahun lalu, Williams tewas kepada Pliskova dalam kejohanan yang sama, namun juara grand slam 23 kali itu berjaya melunaskan dendam bagi melayakkan diri ke separuh akhir.
Pemain tenis veteran itu, yang melahirkan anak pertamanya ketika Terbuka AS tahun lalu, mempamerkan permulaan yang goyah apabila ketinggalan 3-1 sebelum menyelamatkan beberapa mata penting.
Bagaimanapun, Williams bangkit dengan permainan cemerlang, memenangi lapan permainan berturut-turut sebelum memastikan kemenangan.
Selepas tamat perlawanan, Williams menjelaskan dia meraih inspirasi daripada penyokong ketika peringkat permulaan saingan.
"Penonton memberikan sokongan kepada saya. Saya rasa bersalah kerana ramai yang datang memberikan sokongan tetapi saya ketinggalan dalam permainan," katanya.
"Jadi, saya telah berusaha dalam perlawanan ini, terima kasih kepada anda semua."
Pengarah filem, Spike Lee, turut ditemubual ketika perlawanan dan melihat Williams memiliki persamaan dengan dua legenda sukan, Muhammad Ali dan Michael Jordan.
Williams membalas, "Untuk dibandingkan dengan Ali atau Jordan… Saya tidak terkata.
"Ali telah banyak melakukan untuk sukan tinju. Beliau juga banyak memberikan sesuatu kepada dunia dan setiap orang. Itu yang mahu saya lakukan dan bagaimana orang akan mengingati saya.
"Dengan cara saya beraksi, saya berharap ia dapat memberikan inspirasi kepada semua orang. Itu impian saya."
Williams, satu-satunya pemenang grand slam yang masih beraksi, seterusnya akan berdepan Anastasija Sevastova esok.
Penulis Jemputan
Wed Sep 05 2018