BERITA SUKAN AM
Penganjuran Sukan Komanwel: Malaysia bakal dapat suntikan dana RM602 juta
Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) membuat tawaran kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 menggantikan Australia yang menarik diri.
Apa yang luar biasanya, tawaran itu hadir dengan insentif yang cukup menarik iaitu suntikan dana berjumlah GBP100 juta atau RM602 juta untuk membantu Malaysia melaksanakan temasya empat tahun sekali itu.
Susulan daripada pelawaan rasmi CGF kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia bulan lalu, MOM sudah memulakan perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mempertimbangkan tawaran berkenaan.
Iklan
Menurut presiden CGA Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, dalam kenyataan hari ini, badan induk itu berpendapat kerajaan Malaysia harus mempertimbangkan peluang sekali seumur hidup ini -- beserta sokongan dan pelaburan berkaitan -- yang akan membina kejayaan Kuala Lumpur 1998 dan meletakkan Malaysia kembali berada di peta sukan dunia.
Malaysia ditawar jadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026Setuju atau tidak? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) March 11, 2024
Norza selanjutnya berkata dengan fasiliti berkelas dunia sedia ada, Malaysia serba lengkap untuk menjadi tuan rumah temasya antarabangsa Komanwel yang membabitkan 74 negara Komanwel dan wilayahnya.
Penganjuran akan membabitkan perbelanjaan kerajaan yang minimum dan membawa faedah sosio-ekonomi ketara kepada negara.
Ia juga bakal meningkatkan taraf sukan Malaysia seperti apa yang berlaku selepas temasya 1998. Untuk tujuan itu, CGF dan CGA Malaysia sudah menawarkan cadangan yang menarik kepada kerajaan Malaysia.
Pada Sabtu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kementerian sedang menyediakan kertas kabinet, meliputi hasil kajian mengenai pelbagai aspek penganjuran sukan itu untuk diserahkan kepada jemaah menteri, bagi membuat sebarang keputusan.

Must-Watch Video