Skip to main content

Sukan Lain

Pengalaman undang-undang sukan jadi teras Dr. Wirdati

wirdati.jpg
Profesor Madya Dr. Wirdati Mohd Radzi bersedia menyahut cabaran bagi membantu menyelesaikan kemelut yang melanda persatuan sukan kebangsaan apabila diumumkan selaku Pesuruhjaya Sukan (PJS) yang baru.

Dr. Wirdati menggantikan Datuk Zaiton Othman yang bersara pada Mac lalu selepas memegang jawatan itu sejak 1 Februari 2015.

Walaupun baru dilantik, beliau sudah mengenal pasti beberapa cabaran yang harus diselesaikan sebaik mula melaporkan diri untuk tugasan baru selepas proses perpindahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diluluskan.

"Saya melihat sesiapa pun yang memikul tugas PJS akan berdepan cabaran yang besar daripada segi membantu persatuan-persatuan dalam menguruskan operasi harian mereka. 

"Setiap persatuan ada perlembagaan tersendiri, iaitu undang-undang yang mengawal selia persatuan tersebut ," katanya. 

Pensyarah kanan Universiti Malaya (UM) itu dilantik berdasarkan pengalamannya dalam bidang undang-undang sukan selain bergiat aktif dalam beberapa badan sukan.

Sebagai rekod, Dr. Wirdati merupakan Pengerusi Badan Rayuan Pelesenan Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta ahli Persatuan Undang-Undang Sukan Antarabangsa.

"Tahap undang-undang sukan antarabangsa lebih tinggi daripada persatuan di Malaysia. 

"Jadi, salah satu tugas PJS adalah memberikan kesedaran mengenai kepentingan mematuhi peraturan dan perundangan dalam tadbir urus persatuan yang baik," tambahnya. 

Dr. Wirdati merupakan PJS wanita kedua dilantik selepas Zaiton. 
 

Advertisement

Must Watch Video