Skip to main content

Gusti

Penamat yang mahal di Backlash, Jinder tutup mulut pengkritik

jinder-mahal.jpg
Ketika jenama Raw membiarkan Brock Lesnar masih menyimpan kejuaraan utama mereka sebagai hiasan di ruang tamu, Smackdown Live terus membuka ruang buat bintangnya bersinar dan bergelar juara.

Siapa sangka seorang anak muda Punjabi bernama  Yuvraj Singh Dhesi yang kemudian diberi gelaran Jinder Mahal mampu bergelar Juara WWE walaupun sebelum ini hanyalah seorang bintang kelas pertengahan dan boleh dianggap sebagai ‘jobber’ dalam istilah dalaman gusti profesional.

Jinder, 30 mengejutkan hampir 10,000 penonton yang membanjiri arena All State di Chicago dan jutaan WWE Universe di seluruh dunia apabila berjaya menewaskan penyandang juara Randy Orton di perlawanan kemuncak WWE Backlash semalam.

Orton bermula agresif apabila menyerang Jinder ketika juruhebah gelanggang Greg Hamilton masih memperkenalkan kedua mereka. Serangan Orton berlarutan hingga ke luar gelanggang menyebabkan Jinder agak lemah di minit-minit pertama perlawanan.



Tempo perlawanan juga agak sederhana dengan masing-masing masih mengekalkan corak persembahan masing-masing. Suasana mula bertukar hangat apabila ‘balaci’ kepada Jinder, The Singh Brothers mula mengganggu Orton dan menarik kaki Jinder yang sedang ditindan Orton sebaik sahaja gerakan RKO berjaya dilaksanakan.

Orton yang berang lantas memberikan tunjuk ajar kepada dua pasangan adik beradik tersebut agar usah sesekali mencampuri urusan orang lain. Tidak cukup dengan membaling kedua penggusti Cruiserweights itu ke meja pengulas, gerakan DDT dari tali kedua gelanggang juga dihadiahkan Orton sebagai membalas perlakuan mereka.



Peluang ini diambil Jinder dengan menyerang hendap Orton dari belakang dan terus melancarkan gerakan penyudah pematah leher Coloss, menyebabkan Orton pitam dan tidak mampu menghentikan tiga kiraan pin oleh pengadil.

Kemenangan Jinder yang langsung tidak dijangka mengundang pelbagai reaksi daripada penonton. Rata-ratanya terlopong dan seakan tidak percaya bahawa Jinder Mahal yang menggelar dirinya sebagai Maharaja, kini adalah Juara WWE dan akan berada di puncak takhta Smackdown selepas ini.

Bukan setakat WWE Universe, para bintang WWE juga turut melahirkan pelbagai reaksi terhadap kemenangan ini.
    Untuk rekod, Jinder adalah Juara WWE berdarah Punjabi India pertama dalam sejarah. Sebelum ini, The Great Khali juga pernah bergelar Juara Heavyweight Dunia WWE di awal kemuculannya pada tahun 2007.

Sebaik sahaja bergelar juara, Jinder terus ditemuramah The Times of India. Menurut Jinder, bergelar Juara WWE adalah saat paling manis dalam hidupnya. Beliau turut berbangga kerana berjaya mewakili negaranya India dan akan membawa pulang bengkung kejuaraan ini ke kampung halamannya dan terus berusaha untuk membanggakan rakyat India.

"Saya mahu membanggakan semua pihak sebagaimana yang pernah dilakukan Great Khali sebelum ini. Saya mahu membawa nama India dalam cara yang baik dan menampilkan persembahan bermutu. Saya baru sahaja menewaskan Randy Orton yang merupakan seorang lagenda dalam industri ini. Saya mahu menewaskan lebih ramai bintang seperti John Cena dan menaikkan nama saya sebagai antara yang paling dihormati dalam sejarah gusti profesional.

Terima kasih kepada semua peminat di India yang telah menyokong saya selama ini. Tanpa sokongan anda semua, tidak mungkin saya akan berjaya hingga ke tahap ini.”
 


Ketika ditanya tentang reaksi belakang tabir sebaik sahaja bergelar juara, ini jawapan Jinder:
" Reaksi belakang tabir amat positif. Vince (McMahon) amat gembira. Beliau berbangga dengan saya atas usaha keras saya selama ini. Saya dapat rasakan yang Vince amat menghargai usaha ini dan membuktikan WWE sentiasa akan menganugerahkan sesuatu kepada bintang mereka yang bekerja keras dan memberikan sepenuh komitmen tanpa berbelah bahagi.”

Kemenangan ini pastinya menjadi penanda aras serta lembaran baharu di WWE. Jika sebelum ini, kejuaraan berprestij ini hanya akan berlegar di pinggang bintang-bintang berkulit putih, namun tradisi itu kelihatan tidak akan berlaku lagi. Tanpa mengira warna kulit, agama dan bangsa, usaha keras pasti membuahkan hasil.

Sekalung tahniah sekali lagi buat Sang Maharaja!



Keputusan lain acara Backlash semalam menyaksikan Tye Dillinger tewaskan Aiden English di acara sepak mula, Shinsuke Nakamura bermula cemerlang dalam perlawanan sulungnya di roster utama dengan membenam Dolph Ziggler, The Usos kekalkan kejuaraan regu Smackdown dengan menundukkan Breezango, Sami Zayn kecewakan Baron Corbin, The Welcoming Committee (Natalya, Tamina dan Carmella) tumpaskan trio Becky Lynch, Charlotte Flair dan Naomi dan Luke Harper kalahkan Erick Rowan. Manakala AJ Styles kempunan untuk merampas Kejuaraan Amerika Syarikat daripada Kevin Owens apabila tidak dapat kembali naik ke gelanggang dalam 10 kiraan gara-gara kakinya terikat dengan kabel di meja pengulas.

Foto ehsan: WWE.com

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro & Astro On-the-Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 18,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.



 

Advertisement

Must Watch Video