Skip to main content

Sukan Lain

Pemilihan presiden NAAM dijangka sengit

memanah-120517.jpg
Persaingan merebut jawatan presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) dijangka hangat apabila ketiga-tiga calon diketuai penyandang, Mohamad Yazid Yahya, menerima lima pencalonan menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) NAAM, esok.

Yazid akan dicabar Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharom, dan bekas setiausaha badan induk itu, Baharuddin Jamil.

Apa yang menarik, ketiga-tiga mereka berkongsi jumlah pencalonan yang sama, sekaligus menghangatkan lagi AGM yang akan berlangsung di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

"Kami menjangkakan satu persaingan sengit memandangkan calon-calon presiden mendapat jumlah pencalonan yang seimbang, iaitu lima daripada ahli gabungan," kata Pemangku Setiausaha Kehormat NAAM, Amir Suharman Adnan.

NAAM berdepan pergolakan dalaman apabila 12 ahli gabungan mengadakan pertemuan dengan MOM, Januari lalu, untuk meminta Yazid menetapkan tarikh AGM.

Mereka menganggap badan induk itu mengalami masalah kepimpinan, apatah lagi masih belum menetapkan venue Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos depan.

Lebih menarik, dua ahli gabungan, iaitu Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, tidak dibenarkan mengundi.

"Dukacita dimaklumkan, keahlian Kuala Lumpur telah digantung oleh Pesuruhjaya Sukan, manakala Negeri Sembilan, kami mendapati mereka lambat membayar yuran keahlian NAAM."

 

Advertisement

Must Watch Video