Skip to main content

Hoki

Pembentukan skuad hoki negara masih jauh daripada sempurna

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

hoki.jpg
Skuad hoki negara telah menamatkan kempen Piala Sultan Azlan Shah 2024 di tempat keempat selepas tumbang di tangan New Zealand 2-3 dalam aksi penentuan tempat ketiga di Ipoh, Perak.

Kekalahan skuad negara itu telah memberi gambaran yang cukup jelas bahawa terdapat permasalahan dalam pembentukan skuad hoki negara itu. 

Ketua jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh, sudah mengenalpasti kelemahan yang ketara buat pasukan kendaliannya itu selepas mengharungi enam aksi kompetitif di Ipoh.

Sarjit Singh mengakui berpuas hati secara keseluruhan dengan corak permainan skuad naugannya itu dan yakin pasukan berada di landasan yang betul.

"Saya fikir mereka (skuad negara) sudah semakin baik, mereka hanya perlu bekerja keras sedikit, kurangkan membuat kesalahan dan saya yakin mereka dapat menjaringkan gol.

"Saya rasa itulah faktor yang paling penting, selain itu mereka perlu mengekalkan stamina dan kecergasan," katanya menerusi Wartawan Astro Arena, Karl Nunis.

Bagaimanapun, kegagalan skuad negara dalam perlawanan menentang New Zealand itu sudah menjadi jangkaan memandangkan skuad yang baru dibentuk itu hanya mengetengahkan pemain muda khususnya di posisi pertahanan.

Hal ini membuatkan gawang gol skuad negara berada dalam keadaan goyah sehingga memudahkan pasukan lawan berjaya menghasilkan lambakan gol untuk mengaut mata sekaligus merampas kedudukan tempat ketiga. 

Manakala, pemain tengah skuad hoki negara, Fitri Saari menyatakan mereka masih memerlukan latihan terutama di sekitar kawasan "D" kerana disitu merupakan titik kelemahan buat pasukan pimpinan Sarjit Singh itu.

"Kita perlu balik dan berlatih semula di ' D area' sebab kita jarang menjaringkan gol dikawasan itu.

"Saya harap pemain 'forward' dan 'midfield' memainkan peranan untuk jaringkan gol sekiranya berpeluang," kata Fitri.

Tambahnya, kekalahan yang mereka hadapi ini boleh menjadi pengajaran buat mereka untuk ke Piala Negara- Negara di Poland hujung bulan ini.

Advertisement

Must Watch Video