Skip to main content

Sukan Lain

Pembakar semangat Safiyah

safiyah.jpg
Atlet boling tenpin negara, Siti Safiyah Amirah abdul Rahman, menganggap kejayaan meraih gelaran juara kebangsaan sebagai pembakar semangat untuknya menghadapi Kejohanan Wanita Dunia 2019 di Las Vegas yang akan bermula 22 Ogos ini.

Pemain berusia 29 tahun itu merupakan antara lima pemain dalam acara berpasukan yang menamatkan kemarau 10 tahun pingat emas negara dalam kejohanan tersebut, dua tahun lalu.

Safiyah berjaya merampas semula gelaran juara kebangsaan selepas menundukkan rakan sepasukan, Natasha Roslan, 200-182 dalam final stepladder Kejohanan Kebangsaan 2019 di Sunway Megalanes, semalam.

"Kami mahu mempertahankan pingat emas yang diraih tahun lalu dan saya akan cuba meraih kejayaan dalam acara individu, doubles serta trio," katanya.

Pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 dalam acara trio itu mengakui sudah bersedia untuk mempertahankan pingat di Las Vegas selepas melakukan persiapan lengkap lebih awal.

Selain itu, kejohanan itu turut menjadi platform untuk menilai prestasi pemain untuk dipertaruhkan dalam Sukan SEA Filipina, November depan.

"Kami telah lama berlatih di sini hampir sebulan dengan corak lorong yang berbeza. Dengan cara latihan ini, ia membenarkan kami untuk melakukan balingan yang lebih konsisten," ujarnya.

Advertisement

Must Watch Video