ARRC
Pelumba Malaysia terkandas di Thailand
Pelumba Malaysia, Mohd Fitri Ashraff Razali dan Mohd Haziq Fairues, mengharungi perjalanan yang memenatkan dari Kuala Lumpur ke New Delhi bagi menghadapi Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Buddh.
Situasi itu berlaku apabila penerbangan secara terus dengan Malaysia Airlines (MAS) telah melebihi tempahan sebelum ditukar ke Thailand dan tertangguh selama sehari.
Kedua-dua pelumba bersama sebahagian kontinjen Yamaha menempah penerbangan MH0190 yang dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.25 petang 27 September.
Iklan
Namun, disebabkan masalah tempat duduk penuh, jadual penerbangan ditukar ke Bangkok dengan Thai Airways ke New Delhi.
"Apabila kami mahu mendaftar masuk pada petang Selasa (27 September), kami diberitahu tempat duduk telah penuh kerana telah melebihi tempahan.
"Saya dan Haziq bersama 10 orang yang terdiri daripada jurutera dan kru pasukan, telah dialihkan oleh MAS ke Bangkok untuk meneruskan penerbangan dengan Thai Airways ke New Delhi," jelas Fitri yang beraksi dalam kelas SuperSports 600cc bersama pasukan Yamaha Racing.
"Malangnya, pelarasan penerbangan yang baharu oleh MAS bersama syarikat penerbangan gabungan ahli One World yang lain tidak seperti yang diperkatakan.
"Sepatutnya, kami dijadualkan menaiki penerbangan pada hari yang sama, namun kami diberitahu Thai Airways hanya mempunyai empat kekosongan kerusi.
"Kami menolak kerana mahu bergerak bersama dalam satu pasukan, jadi pegawai MAS di Bangkok kemudiannya menguruskan kami penerbangan lain bersama Jet Airways yang dijadualkan berlepas pada pagi Rabu.
"Malangnya, pada pagi Rabu, pihak Jet Airways tidak mahu menerima tiket kami dan tanpa sebarang pilihan, kami terpaksa menaiki Thai Airways yang dijadualkan terbang pada sebelah petang dan hanya tiba di New Delhi pada tengah malam Rabu.
"Kami menempuh perjalanan lebih 24 jam untuk ke New Delhi yang sepatutnya hanya kira-kira lima ke enam jam.
"Seluruh pasukan agak tertekan dan penat. Sedikit-sebanyak ia pasti akan mengganggu fokus kami untuk menghadapi perlumbaan yang mencabar pada minggu ini," kata pelumba pasukan UMA Racing Yamaha Maju Motor dalam kategori Underbone 130cc, Haziq.
Must-Watch Video



