Skip to main content

Sukan Lain

Pearson umum persaraan

sallypearson.jpg
Bintang Australia, Sally Pearson, mengumumkan persaraan mengejut daripada sukan olahraga, kurang setahun sebelum Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pearson -- pemenang pingat emas acara 100 meter berpagar dalam Sukan Olimpik London 2012 -- menyatakan kecederaan yang dialami telah menamatkan kariernya.

Juara dunia dua kali dan pemenang pingat emas dua kali Sukan Komanwel itu mendedahkan dia telah berusaha untuk pulih daripada kecederaan paha, betis, hamstring, lutut dan buku lali -- kesemuanya dialami tahun ini.

"Hari pertama saya mengambil keputusan ini adalah sesuatu yang amat menyedihkan," kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 itu. "Ia merupakan sesuatu yang sukar untuk diterima. Saya menyedari ia adalah keputusan yang tepat.

"Membuat keputusan mengenai sesuatu yang sebahagian daripada hidup saya selama 20 tahun amat sukar sekali.

"Saya mahu tampil dalam Sukan Olimpik buat kali ketiga. Secara tidak langsung, ia amat mengecewakan saya, namun dalam masa sama, saya berasa lega. Menyedari karier saya sudah berakhir, tiada lagi kecederaan yang perlu saya alami."

Pearson, yang terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Dunia 2015, Sukan Olimpik 2016, dan Sukan Komanwel 2018 ekoran kecederaan, berkata lagi, "Saya berbangga dengan diri sendiri kerana sentiasa bersedia untuk menang.

"Saya tidak lagi sama seperti dahulu, jadi sudah tiba masa untuk saya meneruskan kehidupan ini.

"Saya amat menyayangi sukan ini dan rakan sepasukan telah banyak membantu saya. Saya turut memiliki sokongan daripada keluarga, pasukan dan skuad olahraga Australia, pihak penaja, media dan penyokong -- saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua."

Sukan Olimpik Tokyo 2020 dijadualkan bermula pada 24 Julai tahun depan.

Advertisement

Must Watch Video