Menteri belia dan sukan, Hannah Yeoh, berharap agar isu melibatkan pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 dapat diselesaikan dengan kadar segera bagi memastikan fokus kembali terarah kepada persiapan menuju temasya sukan terbesar dunia tersebut.

Hannah mempercayai bahawa Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengambil maklum terhadap reaksi semua pihak termasuk peminat sukan tanah air mengenai set kelengkapan pakaian kontinjen negara.

Dalam masa sama, khabar angin yang mendakwa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MOM tidak sehaluan adalah tidak benar dan dinafikan oleh Hannah sebaliknya kedua-dua pihak sentiasa bekerjasama demi kemajuan industri sukan Malaysia di pentas antarabangsa.