Raja pecut 100 meter negara, Muhammad Azeem Fahmi, akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institusi Sukan Negara (ISN) berkenaan persediaannya ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas layak dengan status 'wildcard'.
Atlet berusia 20 tahun itu mahu fokus proses pemulihannya dan akan tinggal di Malaysia untuk membuat persiapan dalam masa berbaki kurang sebulan sebelum berentap ke temasya sukan beprestij itu.
"Saya mahu buat latihan dan proses sembuh dengan baik dalam tempoh yang tak lama dan tak terlalu singkat ini, fokus saya untuk recovery jaga badan saya.
"Balik dari Indonesia, saya mungkin akan duduk dengan ISN, MSN tentang macam mana perjalanan saya ke Sukan Olimpik," katanya.
Azeem sebelum itu menambah koleksi pingat emas buat kem olahraga apabila mengungguli acara 4x100m lelaki bersama Mohammad Thaqif Mohammad Hisham, Aliff Iman Mohd Fahimi dan Mohd Raimi Mustafa Kamal.
Pada Isnin lalu, Azeem memaklumkan dia mengalami beberapa kecederaan ringan yang memaksanya untuk menjalani proses pemulihan pada Februari hingga April lalu.
Jelasnya, setakat ini dia sudah 100 peratus sembuh daripada sebarang kecederaan, namun masih berdepan trauma ketika di atas trek.
--Sinar Harian
Stadium Astro
Thu Jul 04 2024