PARALIMPIK
Paralimpik Tokyo 2020: Kesilapan teknikal batalkan penyertaan Nur Syaiful
Perenang para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli, sekali lagi dihimpit kekecewaan apabila penyertaannya terbatalkan -- kali ini menerusi acara 100 meter kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal) dalam saingan Sukan Paralimpik Tokyo sebentar tadi.
Nur Syaiful yang menamatkan saingan di tempat ketiga dalam saringan pertama di Pusat Akuatik Tokyo terpaksa menelan realiti apabila pembatalan itu menjadi titik noktah terhadap perjuangannya untuk ke peringkat akhir dalam acara itu yang dijadualkan berlangsung pada sebelah petang.
Pengarah Bahagian Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN), Mohd Sofian Hamzah, mengesahkan bahawa, perenang berusia 26 tahun itu dibatalkan penyertaannya berikutan satu lagi kesilapan teknikal ketika berenang.
Iklan
"Kepala Nur Syaiful tidak naik ke permukaan air dalam jarak 15 meter awal, sewaktu membuat kuakan," katanya menerusi Bernama.
Perenang daripada Jawatankuasa Paralimpik Russia (ROC), Dmitrii Cherniaev, memenangi saringan itu dengan mencatat 1 minit 33.42 saat (s), diikuti rakan senegaranya, Aleksandr Molkov, (1:44.37s) dan ketiga pula milik Francesco Bocciardo dari Itali (1:51.11s).
Must-Watch Video