Skip to main content

Sukan Lain

Panthera Ladies berlatih di Hong Kong

nik-safuan-ragbi-7s.jpg
Program latihan bersama selama lima hari di Hong Kong minggu depan menjadi serampang dua mata bagi skuad negara dalam melakukan persiapan menghadapi kempen Kejohanan Asia Wanita Tujuh Sebelah (7s) 2019 di Incheon, Korea Selatan, bulan depan. 

Ketua jurulatihnya, Nik Safuan Ismade Nik Man, menyifatkan latihan bersama pasukan Hong Kong Women Development (HKWD) sebagai medan ujian terbaik buat anak buahnya, dengan Panthera Ladies menghadapi tiga siri kempen kejohanan Asia tersebut. 

"Pasukan ragbi wanita Malaysia sekarang ini berada di landasan yang betul. Kami harap selain latihan bersama HKWD, beberapa perlawanan ujian menentang kelab-kelab terkemuka di Hong Kong yang diaturkan juga akan memberi impak positif kepada pemain,” katanya.

Nik Safuan Ismade berkata latihan di Hong Kong itu juga akan menjadi kayu ukur kemampuan anak buahnya untuk mengharungi cabaran dalam Sukan SEA Filipina 2019, November depan.

Siri kempen Asia itu bermula dengan Korea 7s di Incheon pada 31 Ogos dan 1 September, diikuti China 7s di Huizhou, China pada 14 dan 15 September dan siri terakhir di Sri Lanka 7s di Colombo 28 dan 29 September ini.

Sementara itu, kapten pasukan, Rozliana Mohd Ridwan, berpandangan peluang berlatih di Hong Kong itu akan menjadi pengalaman berguna dan peluang berharga buat Panthera Ladies. 

"Penyertaan dalam kejohanan antarabangsa ini akan memberi peluang kepada kami untuk menimba pengalaman dan meningkatkan lagi mutu permainan serta prestasi pasukan," katanya.

Panthera Ladies pernah membuat kejutan dengan muncul juara selepas menewaskan pasukan pilihan, Filipina, 10-7 dalam final Trofi Ragbi Asia 7s Wanita edisi lalu di Brunei, sekali gus meletakkan pasukan kebangsaan ini di kedudukan kelapan dalam ranking Asia. 

Kejayaan itu turut melayakkan Panthera Ladies berentap dalam Siri Kejohanan Ragbi Asia Wanita 7 Sepasukan 2019. 

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video