Masih segar dengan pencapaian skuad sepak takraw Malaysia yang berjaya julang gelaran juara dunia di Stadium Titiwangsa pada mei, perkara itu menunjukkan kehandalan orang kita dalam sukan itu.
Tetapi mungkin juga ramai tidak tahu bahawa Seniman Agung tanah air, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee merupakan apit kiri handal zaman 1940-an.
Ketika zaman dia berkarya di Studio Malay Film Production Jalan Ampas, P. Ramleee dianggap sebagai pelopor sukan sepak raga jaring dan bulatan di Singapura.
Presiden Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang, Yusoff, 91, yang bersahabat karib dengan allahyarham pernah menyaksikan sendiri bakat seniman itu dalam sepak takraw ketika itu.
"Saya pernah mengadili satu pertandingan liga sepak raga jaring Pulau Pinang bagi merebut Perisai SM Aidid yang turut disertai P. Ramlee dan kumpulan regunya sekitar akhir 1940-an.
“P. Ramlee antara yang terhandal bermain di posisi apit kiri. Dia mewakili kelab Eastern Smelting, Jalan Datuk Keramat, Kampung Jawa, Georgetown.
“P. Ramlee gemar mengalas (mengikat) kepalanya dengan tuala atau kain putih (ala bandana) apabila bermain.
"Kawalan dan timbangan bola raganya pun hebat," kata Yusoff.
P. Ramlee juga dilaporkan telah menubuhkan kelab Sangga Buana dan aktif bermain Singapura, dengan menjadikan trofi Oskar Sumbangsih P. Ramlee sebagai piala pusingan sebuah pertandingan sepak takraw.