Skip to main content

Hoki

Oltmans terus kendali skuad Malaysia

hokimas.jpg
Ketua jurulatih skuad negara, Roelant Oltmans, akan terus mengemudi Malaysia menghadapi play-off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, November depan walaupun gagal mencapai sasaran muncul juara Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH 2019.

Tiada apa yang dikesalkan apabila Malaysia tewas 2-3 kepada Kanada dalam aksi final semalam.

Deretan peluang dipersia-siakan, terutama dua penalti strok, selain lima pukulan sudut penalti.

Namun, kedudukan Oltmans masih terjamin apabila Malaysia layak secara automatik ke playoff kelayakan Sukan Olimpik menerusi tiket pasukan kedua terbaik kejohanan ini.

"Terdapat ruang yang boleh dipertingkatkan lagi dalam mutu permainan skuad negara," kata Oltmans.

"Sasaran seterusnya adalah saingan kelayakan dan kami memiliki sekurang-kurangnya enam bulan untuk berusaha dengan sebaik mungkin dan mempamerkan aksi yang mantap untuk layak ke Tokyo 2020."

Penyerang negara, Firhan Ashaari, membuka tirai jaringan seawal minit kelapan, namun Kanada membalas menerusi kapten pasukan, Scott Tupper, Brenden Bresset dan James Kirkpatrick.

Tuan rumah cuba bangkit hasil sentuhan jaringan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil pada minit ke-53, namun sudah terlewat.

Pujian buat Tengku Ahmad Tajuddin apabila turut dinobatkan pemain terbaik kejohanan dan penjaring terbanyak dengan empat gol.

"Kami telah cuba memberikan tentangan kepada Kanada. Mereka dibarisi pemain-pemain yang pernah beraksi dalam Sukan Olimpik," katanya..

Advertisement

Must Watch Video