Skip to main content

Sukan Asia

Olahraga: Tiga wakil Malaysia ke separuh akhir 100m

khairul.jpg
Khairul Hafiz Jantan mengetuai kejayaan tiga pelari pecut negara layak ke separuh akhir acara 100 meter Sukan Asia di sebalik kekalahannya kepada bintang muda Indonesia, Lalu Muhammad Zohri, di peringkat saringan, malam ini.

Dalam aksi di Stadium Utama Gelora Bung Karno itu, pertembungan sulung Khairul Hafiz dan Lalu menjadi tumpuan dalam saringan ketiga 100m lelaki.

Kedua-duanya memiliki aura tersendiri dengan Khairul Hafiz bergelar lelaki terpantas Asia Tenggara sementara Lalu memegang status remaja terpantas dunia.

Permulaan buruk menyaksikan Khairul Hafiz berdepan masalah untuk mengejar Lalu yang menamatkan saingan selaku pemenang dengan catatan 10.27 saat, Zhouzheng Xu dari China di tempat kedua berbekalkan 10.4s, sementara Khairul Hafiz  ketiga (10.47s).

"Mungkin keadaan di sini membuatkan saya kurang fokus. Saya jadikannya pengajaran untuk saingan separuh akhir.

"Sememangnya pertemuan kali pertama dengan Lalu menjadi sesuatu yang menarik," kata Khairul Hafiz.

Kejayaan Khairul Hafiz diekori Jonathan Nyepa yang meraih tempat kedua dalam saringan keempat dengan catatan 10.43s, ketinggalan di belakang pemenang perak empat tahun lalu, Su Bingtian dari China.

Apa yang menarik, Jonathan berpeluang mengulangi pencapaian bekas jurulatihnya, Watson Nyambek, yang muncul pelari lelaki terakhir negara yang layak ke final Sukan Asia, 20 tahun lalu.

"Bagi saya, memang mahu cuba yang terbaik, sama seperti apa yang dilakukan Watson dulu," ujar Jonathan.

Dalam saingan wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli berpeluang untuk memecahkan rekod kebangsaan di peringkat separuh akhir apabila melakukan 11.69s, sekali gus menduduki tangga ketiga dalam saringan tiga.

Sementara itu, nasib malang terus melanda atlet lompat jauh negara, Luqman Hakim Ramlan, selepas dia mengalami kecederaan hamstring, sekali gus meragut peluangnya untuk melepasi peringkat kelayakan.

Dia hanya menduduki tangga ke-15 dengan lompatan sejauh 7.42m.

"Saya tidak menyangka kecederaan yang saya alami ini berlaku kerana persiapan saya telah sempurna. Sememangnya saya kecewa tetapi apakan daya. Sudah pasti saya kecewa dengan catatan 7.24m tetapi atas beberapa faktor, saya terpaksa menerimanya.

"Saya boleh katakan perjalanan saya pada tahun ini agak baik. Persiapan saya di Eropah sangat baik, cuma ada beberapa kecederaan kecil.

"Ini penampilan pertama saya dan akan cuba yang terbaik di masa akan datang."
 

Advertisement

Must Watch Video