Skip to main content

Olahraga: Saiz jadi pemisah buat Zaidatul

zaaaa.jpg
Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli, mengakui susuk tubuh kecil menghalangnya untuk melangkah jauh di pentas antarabangsa walaupun berjaya menamatkan kemarau 20 tahun layak ke final 100 meter Sukan Asia 2018.

Dalam aksi di Stadium Utama Gelora Bung Karno malam ini, Zaidatul meraih tangga kelapan dengan masa 11.61 saat, sekali gus meletakkannya di kedudukan terakhir dalam aksi final selepas melepasi saingan separuh akhir menerusi catatan 11.7s.

"Alhamdulillah, ini adalah satu pengalaman buat saya memandangkan ini penampilan pertama dalam Sukan Asia. Saya gembira dengan catatan masa yang diraih setelah mengambil kira tempoh rehat yang ada selepas aksi separuh akhir," ujarnya.

"Sewaktu separuh akhir, saya agak kurang yakin tetapi selepas layak ke final, segalanya semakin bagus. Catatan 11.61s adalah satu pencapaian yang baik untuk saya."

Kali terakhir wakil Malaysia melayakkan diri ke pentas final acara 100m wanita adalah menerusi G. Shanti pada 1998 dan Zaidatul tidak menafikan bahawa legenda negara itu merupakan salah satu faktor yang memberikannya motivasi untuk beraksi cemerlang di Indonesia.

"Memang saya mahu mengikut jejak langkah dia tetapi ternyata masih belum cukup latihan yang saya lalui. Sudah tentu ia memerlukan waktu yang panjang. Saya akan berbincang dengan jurulatih.

"Fizikal saya yang terlalu kurus mungkin menjadi antara faktor saya tewas pada hari ini, jadi perkara-perkara seperti itu akan saya pandang serius," tambahnya. 

Advertisement

Must Watch Video