Skip to main content

Sukan SEA

Olahraga: Peluang Khairul Hafiz ke Manila masih terbuka

manshahar.jpg
Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, mendapat talian hayat untuk mempertahankan pingat emas acara 100 meter dalam Sukan SEA Filipina apabila Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) hanya menyenaraikan Jonathan Nyepa sementara slot pelari kedua masih terbuka.

KOM mengadakan sidang media hari ini bagi mengumumkan senarai 26 atlet kategori A ke Sukan SEA Filipina, November depan.

Bagi acara 100m lelaki, hanya Jonathan sah beraksi sementara slot pelari kedua akan ditentukan antara Khairul Hafiz, Muhammad Zulfiqar Ismail, Mohd Haiqal Hanafi dan Nixson Kennedy.

Keempat-empat pelari itu diletakkan dalam kategori B kerana gagal melepasi had kelayakan 10.37s dan prestasi akan dinilai bagi menentukan siapa patut beraksi dalam acara reben biru itu.

"Kami masih memiliki masa untuk melihat dan berbincang bagi memilih pelari kedua acara 100m. Kami akan cuba menyenaraikan dengan secepat mungkin selepas mendapatkan keputusan bersama," kata ketua jurulatih skuad olahraga negara, Manshahar Abd Jalil. 

Apa yang mengecewakan, tiada seorangpun pelari 100m wanita berjaya melepasi had kelayakan, iaitu sekurang-kurangnya ranking ketiga terbaik Asia Tenggara.

KOM menyenaraikan lima pelari yang diketuai Zaidatul Husniah Zulkifli dalam kategori B dan dia akan dibawa pulang ke Malaysia, Selasa ini selepas gagal mencapai prestasi terbaik.

"Kami mengharapkan lebih banyak pingat emas dapat dijelmakan di Manila berbanding edisi terdahulu," kata Presiden KOM, Datuk SM Muthu.
 

Advertisement

Must Watch Video