Skip to main content

Sukan Asia

Olahraga: Norliyana di landasan pecah rekod kebangsaan

norliyana.jpg
Wanita besi negara, Norliyana Kamaruddin, berpeluang cerah untuk memecahkan rekod kebangsaan miliknya apabila mengumpul 3,205 mata setelah memperbaiki tiga catatan peribadi terbaik selepas tamat empat acara heptatlon Sukan Asia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, sebentar tadi.

Norliyana bermula baik pada hari pertama acara heptatlon apabila menyamai catatan peribadi terbaik lompat tinggi dengan melepasi 1.82 meter.

Dia menggunakan kelebihan sebagai bekas atlet lompat tinggi negara untuk menghuni tangga kedua di belakang atlet India, Swapna Barman.

Atlet berusia 26 tahun itu turut memperbaharui catatan peribadi dalam 200m menerusi kepantasan 26.50 saat.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan ini sudah menamatkan cabaran dalam lontar peluru dan 100m berpagar untuk menghuni ranking kesembilan dengan 3,205 mata.

Apa yang menarik, dia berpeluang memecahkan rekod kebangsaan dengan berbaki acara kegemaran, lompat jauh selain merejam lembing dan 800m.

"Saya tidak biasa dengan saingan di sebelah pagi dan disambungkan pada sebelah malam. Ia agak memberikan kesukaran untuk saya membiasakan diri dengan cuaca," kata Norliyana.

"Saya memiliki sasaran tersendiri untuk melakukan catatan terbaik, sekali gus memecahkan rekod kebangsaan."

Rekod kebangsaan penting untuk Norliyana menarik minat lebih ramai atlet muda menyertai heptatlon.

Dia memecah rekod lama milik Datuk Zaiton Othman ketika Sukan SEA Kuala Lumpur, tahun lalu.

Advertisement

Must Watch Video