Skip to main content

Sukan Asia

Olahraga: Nauraj, Hup Wei gagal cabar pingat

nauraj-singh-lee-hup-wei.jpg
Dua atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh dan Lee Hup Wei, hanya mampu menempatkan diri dalam kalangan 10 terbaik susulan aksi final Sukan Asia Jakarta-Palembang di Stadium Utama Gelora Bung Karno, sebentar tadi. 

Lima atlet melepasi 2.24m dengan catatan itu menyaksikan Nauraj menyamai lompatan terbaiknya tahun ini, namun dia terlepas peluang menaiki podium dengan berada di kedudukan ketujuh sementara Hup Wei di tempat ke-10. 

Nauraj gagal dalam tiga percubaannya melepasi ketinggian 2.28m untuk mencabar pemenang bersama gangsa dari Iran serta Jepun, Majededdin Ghazal dan Naoto Tobe, yang merakamkan 2.24m.

"Saya tidak mengatakan secara keseluruhannya berpuas hati tetapi saya sedikit gembira untuk mencatat 2.24m yang menyamai catatan terbaik peribadi tahun ini. 

"Saya sedikit kecewa kerana melakukan kesilapan kecil dalam lompatan pertama dalam ketinggian 2.28m.

"Pada ketika itu, saya tidak jangka ia boleh menempatkan saya dalam posisi merebut medal," kata Nauraj.

Hup Wei meluahkan kekesalannya yang gagal menjelmakan rentak terbaik dalam pusingan akhir selepas melakukan catatan 2.22m.

"Saya tidak berpuas hati. 

"Saya berasa sangat letih. Saya tidak mahu mencari alasan tetapi saya baru pulih daripada kecederaan dan hanya melakukan persiapan selama dua tahun. 

"Hari ini saya gagal mendapat rentak, lagipun ia tidak konsisten lagi," kata Hup Wei. 

Emas menjadi milik China menerusi Wang Yu (2.30m) manakala Woo Sanghyeok memenangi perak untuk Korea Selatan (2.28m). 


 

Advertisement

Must Watch Video