SUKAN SEA
Olahraga: KOM senarai Zaidatul dalam 4x100m
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk S.M. Muthu, mengesahkan Zaidatul Husniah Zulkifli akan didaftarkan beraksi dalam kuartet 4x100m wanita Sukan SEA Filipina, sekali gus meletakkan ratu pecut itu bakal mencabar tiga acara dalam temasya berkenaan, November depan.
KOM sudah mengadakan perbincangan dengan barisan jurulatih negara mengenai penyertaan skuad kebangsaan dalam temasya edisi ke-30 itu.
Antara yang menarik tumpuan, status pelari yang baru sahaja pulang daripada perguruan di Amerika Syarikat (AS) itu apabila sebelum ini mengumumkan menarik diri daripada acara 200 dan 4x100m wanita.
Iklan
Begitupun, badan induk terbabit mengarahkan pelari kelahiran Pulau Pinang berkenaan beraksi dalam 4x100m wanita memandangkan dia merupakan pelari utama dan berpotensi untuk meraih pingat.
"Zaidatul merupakan salah seorang atlet yang berpotensi untuk melakukan catatan masa yang baik dalam acara 100m.
"Dia bersetuju untuk turun beraksi bersama kuartet negara dalam acara 4x100m," katanya.
Ini bermakna Zaidatul akan beraksi dalam tiga acara, iaitu 100, 4x100 wanita dan 4x100m campuran.
Sementara itu, KOM akan meneliti permintaan seorang lagi pelari pecut, S. Komalam Shally, untuk mengisi kekosongan slot 200m ekoran penarikan diri Zaidatul.
"Kami harus berbincang terlebih dahulu. Terdapat perkara yang harus diteliti sebelum kami membuat keputusan akhir," tambahnya.
Must-Watch Video