Skip to main content

Sukan Asia

Olahraga: Khairul Hafiz, Jonathan akur terlepas aksi final

khh.jpg
Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan dan Jonathan Nyepa, terpaksa menelan kepahitan setelah cabaran mereka dalam saingan 100 meter Sukan Asia 2018 berakhir di peringkat separuh akhir.

Khairul Hafiz menjadi harapan terbaik Malaysia apabila beraksi dalam saringan ketiga separuh akhir 100m, malam ini.

Dia bermula baik tetapi gagal mengekalkan momentum pecutan ketika pertengahan larian sehingga menyebabkannya sekadar mencatat masa 10.45 saat untuk berada di tempat kelima.

Catatan itu jelas jauh daripada rekod kebangsaan miliknya, 10.18s, yang dilakukan pada 2016.

"Sasaran saya mahu ke separuh akhir dan saya dapat menyempurnakannya. Tuhan tidak memberikan rezeki saya untuk berada dalam final, jadi setakat ini cabaran saya di sini.

"Bagi saya, ini satu pengalaman besar dapat beraksi bersama barisan atlet luar yang pantas. Saya boleh melakukan sesuatu yang baik di masa akan datang," kata Khairul Hafiz.

Sementara itu, Jonathan yang beraksi dalam saringan kedua separuh akhir berdepan tugas sukar apabila berlumba dengan jaguh Qatar, Tosin Ogunode, dan pemenang pingat perak dalam saingan empat tahun lalu, Su Bingtian, dari China.

Bekas anak buah Watson Nyambek itu melakukan catatan masa 10.46s, sekaligus gagal mengulangi kejayaan legenda negara itu yang pernah melayakkan diri ke pentas final dalam edisi 1998.

"Sewaktu permulaan, saya agak lambat. Sukar untuk diterangkan," ujar Jonathan.

Advertisement

Must Watch Video