Skip to main content

Sukan SEA

Olahraga: Jonathan, Zaidatul pulang awal untuk persiapan

bala-jonathan-nyepa-zaidatul-husniah.jpg
Pelari pecut negara, Jonathan Nyepa dan Zaidatul Husniah Zulkifli, akan pulang lebih awal ke tanah air dari kem latihan di Kelab The Winners Circle, Atlanta, Amerika Syarikat (AS), Rabu ini, selepas enam bulan berlatih di sana.

Jurulatih pecut negara, M. Balamurugan, menjelaskan kepulangan awal mereka adalah kerana Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) telah mendapatkan khidmat Dwayne Miller untuk berkelana ke sini menjelang Sukan SEA Filipina 2019 dari 30 November hingga 11 Disember depan.

Keputusan itu juga dilakukan supaya dua pelari pecut berkenaan yang sepatutnya pulang Oktober depan itu dapat menyesuaikan diri semula dengan keadaan cuaca sebelum meneruskan latihan di bawah jurulatih dari AS itu.

"Dalam perancangan, mereka sepatutnya berlatih sehingga Oktober ini tetapi ada kekangan manakala jurulatih baru, Dwayne Miller, akan datang tidak lama lagi. 

"Untuk itu, kami mahu Jonathan dan Zaidatul serasi dengan cuaca di sini selain perubahan zon masa terlebih dahulu agar mereka boleh (segera) menyesuaikan diri dengan program latihan di sini," jelasnya ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini. 

Musim ini, prestasi pemenang perak edisi dua tahun lalu itu kurang memberangsangkan sehingga gagal meraih tiket merit ke temasya Filipina 2019. 

Bagaimanapun, Balamurugan optimis pelari berusia 26 tahun itu mampu mencipta kejayaan dalam acara individu meskipun berada dalam kategori B -- tersisih daripada kategori A berikutan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengubah kriteria kelayakan yang berdasarkan ranking terkini ASEAN.

"Dia mengalami kecederaan hamstring awal April lalu. 

"Saya telah berbincang dengan jurulatih di sana agar tidak terburu-buru ke atasnya memandangkan dia sudah layak ke Sukan SEA 2019. 

"Dia kini bebas daripada kecederaan dan berlatih seperti biasa selain melakukan catatan yang baik di AS," katanya. 
 

Advertisement

Must Watch Video