Skip to main content

Sukan Asia

Olahraga: Isu perbelanjaan tamat, atlet harus mula fokus

olahraga_1.jpg
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, menjelaskan isu kos perbelanjaan atlet kategori B ke Sukan Asia 2018 telah selesai dan kini mengharapkan mereka terus fokus kepada persiapan dalam latihan pusat di Bukit Jalil.

Karim mengharapkan tiada lagi pihak yang akan mempersoalkan isu kos perbelanjaan atlet kategori B ke Indonesia setelah diselesaikan sendiri oleh KOM dan paling utama, persatuan itu tidak pernah membandingkan atlet-atlet yang diletakkan dalam kategori A atau B kerana apa yang lebih penting adalah pencapaian mereka dalam Sukan Asia.

Malah, beliau enggan barisan atlet negara terus memikirkan soal bajet yang perlu dikeluarkan, sebaliknya hanya fokus kepada persiapan.

"Saya tidak mahu wujud perbezaan kategori A dan B. Isu tersebut telah selesai dan persatuan sendiri yang akan memegang tanggungjawab untuk setiap persoalan mengenai kategori," katanya.

Skuad olahraga terlebih dahulu menerima kunjungan Karim dalam sesi latihan pusat, petang tadi.

Raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan, yang turut tiba di Bukit Jalil hari ini juga memulakan latihan pertama dan kini fokus untuk mendapatkan kelajuan yang lebih konsisten dalam lariannya.

"Saya rasa berdebar kerana tidak lama lagi Sukan Asia akan bermula dan akan bersaing dengan wakil darip negara-negara besar.

"Namun, saya tetap bersemangat untuk melakukan catatan masa terbaik," ujar Khairul Hafiz.

Sementara itu, Karim juga meluahkan rasa kesal kepada Majlis Sukan Negara (MSN) apabila permohonannya agar tiada atlet dari luar negara yang lain berlatih di Bukit Jalil tidak diendahkan.

Bagi Karim, penting buat barisan atlet mengharungi kem latihan pusat secara tertutup dan tanpa kehadiran atlet luar yang dilihat mampu mengganggu persiapan atlet kebangsaan.

"Beberapa negara memohon kepada Malaysia untuk berlatih di sini dan saya juga telah menulis surat kepada MSN, namun sehingga kini masih belum menerima sebarang jawapan. 

"Tiba-tiba saya nampak beberapa atlet luar negara berlatih di sini. Bagaimana mereka boleh berlatih di sini dan apakah peranan MSN?

"Mereka telah berjanji dengan kami bahawa mereka tidak akan membenarkan mana-mana atlet luar berlatih di sini kecuali wakil Malaysia," kata Karim.

Advertisement

Must Watch Video