Skip to main content

Sukan Asia

Olahraga: Hup Wei, Nauraj ke final

hup-wei.jpg
Atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei dan Nauraj Singh, mencipta sejarah apabila layak ke final Sukan Asia dengan lompatan 2.15 meter, sekali gus menyaksikan Malaysia mempunyai dua wakil ke peringkat penentuan pingat acara itu buat kali pertama.

Dalam aksi di Stadium Utama Gelora Bung Karno hari ini, Hup Wei dan Nauraj tidak berdepan masalah untuk layak ke final yang membabitkan 13 atlet.

Pihak penganjur menurunkan had kelayakan final kepada 2.15m berbanding 2.20m, sekali gus memudahkan tugas kedua-dua jaguh negara tersebut.

Hup Wei yang beraksi dalam saingan kelayakan A melakukan dua percubaan untuk melepasi 2.15m dan langkah itu diikuti oleh Nauraj.

Beberapa jaguh Asia seperti Eto Takahashi, Nauto Tobe dari Jepun dan Wang Yu (China) turut layak ke final, sambil saingan kali ini tampak lebih terbuka apabila juara bertahan, Muttaz Essa Bashim dari Qatar, tidak beraksi ekoran kecederaan.

"Seramai 13 atlet akan beraksi dalam final, sama seperti Sukan Komanwel. Kini, kami mengambil masa untuk memulihkan diri untuk aksi akhir.

"Kami hanya mahu fokus untuk final. Keadaan cuaca memang membuatkan kami lebih cepat letih, sebab itu kami harus memulihkan diri.

"Saya gembira kerana kami berdua sudah berada dalam final dan perlu mencatat lompatan lebih daripada 2.15m," ujar Hup Wei.

Advertisement

Must Watch Video