SUKAN ASIA 2018
Olahraga: Hakimi harap Sotnikov kekal di Malaysia
Jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail, meminta jurulatihnya, Victor Sotnikov, untuk kekal di Malaysia setelah wujud khabar angin pengendali kelahiran Uzbekistan itu merancang berhijrah ke Amerika Syarikat selepas tamat Sukan Asia 2018.
Hakimi meraih tangga ketujuh selepas melakukan 16.15 meter, sekali gus terlepas peluang keemasan untuk merangkul pingat.
Jaguh India, Arpinder Singh, meraih emas dengan catatan 16.77m, menyamai rekod kebangsaan milik Hakimi yang dilakukan ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Iklan
Namun, apa yang lebih mengecewakan adalah Hakimi mungkin terpaksa berpisah dengan Sotnikov yang membimbingnya sejak sembilan tahun lalu.
"Dia seorang jurulatih yang bagus. Jika dilihat, Malaysia sudah lama tidak mempunyai atlet yang melakukan lompatan lebih 16 meter, sekitar 20 tahun.
"Saya adalah generasi seterusnya yang mampu melakukan lompatan itu," katanya.
Selain Hakimi, Sotnikov turut membimbing atlet lompat jauh dan lompat kijang wanita negara, R. Kirthana, serta Shahidatul Nadia Mohd Zuki.
Sementara itu, jaguh lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin, turut mengalami nasib sama.
Pemenang perak Kejohanan Asia 2018 itu bergelut untuk melakukan lemparan terbaik, menyebabkannya sekadar berpuas hati di tangga kelima dengan 57.70m, jauh daripada rekod kebangsaan miliknya, 62.55m.
"Saya berdepan lawan yang sama ketika di India apabila berada di sini. Saya tidak pandang rendah kepada lawan kerana ini adalah sukan individu.
"Saya hanya fokus kepada persembahan sendiri tetapi saya terlalu mahukan kemenangan. Itu masalahnya. Saya perlu belajar untuk mengawal diri," ujar Irfan.
Must-Watch Video