Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

Olahraga GP Asia: Hup Wei elak tertekan

lee-hup-wei.jpg
Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, enggan memberi tekanan kepada diri sendiri dalam Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Asia 2019 di Chongqing, China, 7 Jun ini walaupun berpeluang mencatat kejayaan hatrik selain memburu tiket Kejohanan Dunia 2019.

Hup Wei belajar daripada apa yang berlaku ketika menjuarai Terbuka Thailand, minggu lalu.

Ketika itu, dia menetapkan sasaran untuk melepasi ketinggian 2.30m selaku had kelayakan Kejohanan Dunia.

Namun, atlet berusia 32 tahun itu terpaksa akur dengan catatan 2.20m di sebalik meraih pingat emas berikutan terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri.

Ia pengajaran berguna dan Hup Wei tidak mahu kesilapan sama berulang di China.

"Saya akan cuba melakar kemenangan hatrik kalau boleh dan sekiranya saya dapat melakukan lompatan 2.27m atau 2.28m, saya berpeluang untuk membuat hatrik," katanya.

Selain Hup Wei, Malaysia akan turut diwakili jaguh lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail. 

Peluang terbaik negara adalah menerusi Hup Wei selepas dia melakukan lompatan 2.27m, Januari lalu, sekali gus meletakkannya di ranking ke-10 dunia.

Jika mampu meningkatkan ketinggian dalam beberapa sentimeter lagi, tidak mustahil dia akan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 secara merit.

"Saya perlukan lompatan yang lebih baik lagi. 

"Dengan mengekalkan lompatan 2.27m tahun ini, saya telah menempatkan diri dalam kelompok 30 terbaik.

"Ini kerana ketika melakukan 2.28m tahun lalu, saya berada di ranking ke-27 dunia, namun ia belum cukup bagus," tambahnya. 
 

Advertisement

Must Watch Video