SUKAN LAIN
Olahraga Asia: Hup Wei perlu lepasi rekod kebangsaan
Jurulatih lompat tinggi negara, Alexander Gasparyan, menganggap atletnya, Lee Hup Wei, perlu melepasi ketinggian 2.30 meter untuk meraih pingat dalam Kejohanan Olahraga Trek dan Padang Asia (ATF) di Doha, Qatar, bermula 21 April ini, untuk layak ke Kejohanan Olahraga Dunia 2019 di venue yang sama, September depan.
Selain Hup Wei, acara lompat tinggi akan turut diwakili Nauraj Singh Randhawa.
Tumpuan kini terarah kepada Hup Wei yang melakukan 2.27m dalam Grand Prix (GP) Malaysia, dua minggu lalu -- kurang 3sm untuk layak ke Kejohanan Dunia.
Iklan
Hup Wei pernah meraih emas dalam Kejohanan Asia 2007, namun selepas 12 tahun, peluang untuknya merangkul pingat menjadi lebih sukar.
"Setiap atlet berpeluang untuk menang.
"Atlet Jepun dan China mencatat lompatan 2.34 dan 2.35m.
"Oleh itu, kalau dia boleh melepasi ketinggian 2.30m, dia sudah boleh memenangi pingat," jelas Gasparyan.
Hup Wei, bagaimanapun, enggan mendabik dada dengan kejayaan terbarunya di Stadium Nasional, Bukit Jalil, itu dengan menyimpulkan: "Saya tidak mampu berjanji untuk menang medal.
"Saya sedang giat perbaiki teknik lompatan yang baru tetapi saya akan tetap berusaha untuk membawa pulang medal."
Pemegang rekod kebangsaan (2.30m), Nauraj, yang melakukan lompatan 2.20m dalam kejohanan di Australia, Sabtu lalu, akan pulang ke tanah air esok..
Malaysia akan diwakili sembilan atlet dengan sasaran sekurang-kurangnya mempertahankan satu pingat perak yang dimenangi atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin, dalam edisi dua tahun lalu.
Must-Watch Video