Skip to main content

Sukan Asia

Norza masih yakin Malaysia capai sasaran

norza.jpg
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, optimis kontinjen Malaysia masih mampu untuk mencapai sasaran tujuh pingat emas dalam Sukan Asia di sebalik pungutan emas skuad negara masih suram dengan saingan hanya berbaki lapan hari lagi.

Malaysia setakat ini hanya mengutip satu pingat emas  menerusi trio boling wanita negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Siti Saffiyah Amirah Abdul Rahman dan Esther Cheah.

Mereka turut menyumbang pingat perak bagi acara berpasukan, begitu juga trio boling lelaki dan skuad sepak takraw dalam acara regu berpasukan.

Situasinya amat positif di Palembang, namun untuk secara keseluruhan bagi kontinjen Malaysia, ia menimbulkan kebimbangan setelah sandaran di Jakarta seperti badminton tampak goyah dengan tersingkirnya beberapa pemain pilihan.

Di sebalik senario berkenaan, Norza tetap yakin dan meletakkan harapan Palembang mampu untuk menyumbang sekurang-kurangnya dua lagi pingat emas dan mengharapkan empat lagi akan hadir dari kontinjen di Jakarta.

"Saya berasakan jika dapat meraih dua lagi pingat emas dari Palembang dan empat lagi pingat emas di Jakarta mampu membantu kontinjen negara mencapai sasaran," kata Norza.

Bagaimanapun, Norza enggan mengulas mengenai sasaran Program Podium, program sukan termahal di Malaysia yang meletakkan penanda aras untuk menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik temasya ini.

Ia situasi yang amat sukar kerana Malaysia kini berkedudukan di tangga ke-18 dan masa kian suntuk untuk negara sebelum berakhirnya temasya Sukan Asia pada 2 September ini.

Norza ditemui dalam lawatan dua hari ke perkampungan atlet di Kompleks Sukan Jakabaring, Palembang, semalam.

"Perkara yang penting, apa juga yang berlaku di Palembang dan Jakarta perlu diberikan pujian dan diharap ia dapat mencetus semangat setiap atlet yang bakal beraksi," katanya.

Advertisement

Must Watch Video