Skip to main content

Sukan Lain

Nicol tetap rasa hebat tanpa gelaran Olimpik

nicol.jpg
Legenda skuasy dunia, Datuk Nicol David, berpandangan sukan raket itu tidak lagi memerlukan pengiktirafan di pentas Olimpik sambil menegaskan tiada istilah sesalan buatnya tidak beraksi dalam temasya itu.

Sebelum ini, bekas atlet berusia 35 tahun itu aktif dalam usaha mendukung aspirasi sukan skuasy ke pentas Olimpik Tokyo 2020.

Bagaimanapun, usaha dan impiannya untuk menyaksikan skuasy dipertandingkan dalam temasya itu di sepanjang hayatnya sebagai pemain, berkubur.

Namun, kini dia menegaskan setiap kejuaraan, terutama lapan gelaran dunia yang dimilikinya, lebih istimewa daripada kebarangkalian satu pingat emas Olimpik.

"Awal dahulu, sewaktu saya bercakap tentangnya, saya pernah berkata mahu menukarkan enam kejuaraan dunia yang dimiliki dengan satu pingat emas Olimpik. Sejak waktu itu sehingga hari ini, skuasy mempertaruhkan banyak masa, wang serta pengorbanan bagi memastikan sukan ini berada di pentas Olimpik," katanya.

"Namun, sehingga satu ketika di mana banyak perubahan dilakukan dalam Olimpik, bagi saya, tidak perlu untuk menukarkan kesemua kejuaraan yang saya miliki untuknya."

Nicol turut menawarkan perkembangan peribadi susulan persaraan daripada aksi kompetitif Jun lalu tatkala timbul persoalan sama ada dia rindukan saingan di dalam gelanggang.

"Secara jujur, saya kini gembira tidak lagi beraksi. Satu kegembiraan apabila bangun daripada tidur di awal pagi tanpa memikirkan skuasy dan bebas melakukan apa sahaja."
 

Advertisement

Must Watch Video