Skip to main content

Sukan Lain

Neymar: Saya bukannya adiwira mahupun contoh terbaik

neymar.jpg
Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, mengakui dia bukanlah "contoh sempurna mahupun adiwira".

Selepas hampir dua tahun di PSG, khabar angin mengenai perasaan tidak gembira, kekeruhan hubungannya dengan rakan sepasukan dan komitmen rendahnya kerap menjadi bualan. 

Neymar gagal melaporkan diri ke sesi latihan pra-musim, awal bulan ini, di celah-celah spekulasi yang mahukannya kembali ke Barcelona, ​​sementara Pengarah Sukan PSG, Leonardo, mengesahkan sedia melepaskan bintang Brazil itu sekiranya mendapat bidaan yang sesuai. 

Semalam, Neymar sekali lagi mencetuskan kemarahan penyokong PSG apabila menganggap kebangkitan luar biasa bersama bekas kelabnya, Barcelona, ke atas PSG dalam Liga Juara-Juara 2016-17 antara kenangan terindahnya dalam bola sepak. 

Bercakap dalam Kejohanan Lima Sebelah Red Bull Neymar Jr. di Sao Paolo, dia berkata: "Saya bukanlah adiwira atau contoh yang sempurna. Saya juga mengharungi detik-detik buruk. Saya mahu berada di rumah dan bersembunyi di samping kawan-kawan dan keluarga.

"Saya bukanlah seorang adiwira yang boleh mengendalikan semua tekanan di dunia tetapi saya tetap berusaha kerana sedar peranan yang boleh saya mainkan, bukan hanya kepada keluarga dan anak sendiri, bahkan untuk kebanyakan kanak-kanak. 

"Saya sedar saya mempunyai tanggungjawab yang besar dan saya mahu bertindak dengan cara yang terbaik. Saya sentiasa bersikap jujur, itulah perkara paling penting."

Neymar terlepas kempen Copa America 2019 bersama Brazil akibat kecederaan buku lali dan dia terpaksa melupakan kejohanan berkenaan biarpun ia merupakan matlamat utamanya tahun ini.

"Tersisih daripada Copa America adalah perasaan yang sangat teruk, saya tidak gembira," katanya. 

"Kalau saya sudahpun tidak gembira jika terpinggir daripada sesi berlatih, jadi anda boleh bayangkan bagaimana perasaannya terlepas kempen Copa America.

"Kejohanan itu sangat penting buat saya dan menjadi tumpuan utama saya tahun ini tetapi saya sentiasa bersorak untuk rakan sepasukan dan rakan-rakan saya.

"Saya sangat gembira untuk melihat mereka menang, apatah lagi kalau saya dapat beraksi, kebahagiaan mereka juga adalah kebahagiaan saya."
 

Advertisement

Must Watch Video