Skip to main content

Sukan Asia

Newenham harap Program Podium kekal

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

newenham.jpg
Pengarah Program Podium, Tim Newenham, kekal dengan pendirian agar program ini tidak dirombak selepas berakhir Sukan Asia Indonesia 2018 walaupun rata-rata atlet berpotensi tinggi beraksi hambar untuk temasya edisi ini.

Tempoh dua tahun masih belum cukup untuk dijadikan titik penilaian secara keseluruhan terhadap keberkesanan Program Podium kerana misi utamanya adalah untuk meraih emas sulung dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jelas Newenham, beliau menyedari terdapat segelintir atlet daripada program itu yang mempamerkan aksi hambar dalam Sukan Asia dan mereka pastinya akan dinilai kembali sebelum memutuskan untuk digugurkan.

Tetapi, adalah tidak adil buat atlet lain yang menyerlah sekiranya program itu dirombak sebaik berakhir Sukan Asia.

"Sesuatu program tidak dapat dinilai sepenuhnya dalam tempoh yang singkat. Sasaran utama ialah meraih pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan Olimpik dan ia harus diteruskan lagi," kata Newenham.

Pemenang pingat emas boling tenpin acara masters lelaki, Muhammad Rafiq Ismail, pula menganggap kejayaannya dalam Sukan Asia ini tidak akan terhasil tanpa Program Podium yang nyata membantunya daripada segi kemudahan dan program yang telah disusun sebaik-baiknya.

"Program Podium dan Institut Sukan Negara banyak membantu persiapan saya bagi memastikan meraih pingat emas Sukan Asia," kata Rafiq.
 

Advertisement

Must Watch Video