Skip to main content

Sukan Lain

NBA tangguhkan saingan selepas pemain Jazz positif ujian Coronavirus

basketball-cropped_81uekpd4r4oo1k8b0h58wmjzv.jpg
Saingan Liga Bola Keranjang NBA akan ditangguhkan selepas aksi semalam selepas pemain Utah Jazz disahkan positif dalam ujian COVID-19.

Keputusan itu diambil selepas pertemuan di antara Oklahoma City Thunder menentang Utah Jazz ditangguhkan di Chesapeake Energy Arena.

Rudy Gobert dilaporkan dijangkiti COVID-19 selepas diketepikan daripada aksi itu akibat masalah kesihatan bersama rakan sepasukannya, Emmanuel Mudiay.

"Pemain daripada Utah Jazz telah didapati positif COVID-19. Keputusan ujian itu diraih sebelum aksi melibatkan Jazz dan Oklahoma City Thunder di Chesapeake Energy Arena tetapi pemain yang terlibat tiada di situ.

"NBA menangguhkan aksi susulan situasi yang berlaku dan perkembangan susulan akan diumumkan kemudian. Pihak NBA akan menggunakan ruang ini untuk sama-sama mengikuti langkah dalam pencegahan wabak Coronavirus," kata wakil NBA.

Situasi kelam-kabut di Oklahoma City, di mana selepas barisan utama diumumkan dan pemain bersedia untuk turun ke gelanggang, ia terpaksa ditangguhkan.

Pegawai perlawanan dilihat berbual dengan pemain sebelum meninggalkan gelanggang selepas situasi itu menarik perhatian ramai.

Pihak kesihatan Thunder dilaporkan berlari masuk ke gelanggang, melakukan perbincangan dengan pegawai perlawanan.

Ia selepas Golden Stat Warriors mengumumkan pertemuan dengan Brooklyn Nets terpaksa diadakan dalam stadium tertutup.

Keputusan The Warriors itu diambil selepas pihak berkuasa San Francisco mengumumkan semalam bahawa sebarang perhimpunan 1,000 orang atau lebih akan menyebabkan tempoh dua minggu penularan wabak virus itu.

Sehingga semalam, terdapat lebih daripada 1,300 kes Coronavirus dan 38 kematian di Amerika Syarikat.

Di seluruh dunia, lebih 126,000 telah dijangkiti dan 4,633 daripadanya telah meninggal dunia.

Advertisement

Must Watch Video