NBA
NBA: Kelibat Durant belum cukup buat Nets elak kekalahan
Kevin Durant berikrar untuk meningkatkan lagi persembahannya selepas menyumbang 31 mata sebaik kembali daripada kecederaan yang menyisihkan dalam 21 perlawanan NBA.
Tetapi keupayaannya itu belum cukup apabila Brooklyn Nets tewas 107-113 kepada Miami Heat sebentar tadi.
Brooklyn meraih lima kemenangan dan 16 kekalahan sepanjang ketiadaannya -- akibat masalah lutut sejak pertengahan Januari lalu -- untuk menduduki tangga kelapan Persidangan Timur.
Iklan
Nets mendahului 16 mata dalam separuh masa pertama tetapi membenarkan kebangkitan Heat yang menyaksikan Durant beraksi selama 35 minit.
"Saya berasa dalam keadaan yang baik. Saya hanya akan bertambah bagus sebaik berasa lebih selesa di atas gelanggang," kata Durant dalam sidang akhbar pasca-perlawanan.
"Saya sedia memikul beban lebih besar selepas mengharungi lebih banyak perlawanan. Saya berasa mantap."
That's a 30-piece for @KDTrey5 pic.twitter.com/hrDT81alL8— Brooklyn Nets (@BrooklynNets) March 4, 2022
Nets merindui kelibat Kyrie Irving yang tidak dapat diturunkan dalam perlawanan di tempat sendiri di Pusat Barclays itu berikutan peraturan vaksin yang ditetapkan di Bandaraya New York, manakala Ben Simmons yang baru direkrut masih belum membuat penampilan sulung kerana belum cergas setelah tidak beraksi sepanjang musim ini.
Durant bergandingan dengan muka baru, Andre Drummond, Seth Curry dan Goran Dragic dalam kesebelasan utama buat kali pertama sambil mengakui kserasian mereka mungkin akan mengambil masa.
“Ia boleh jadi satu perlawanan atau 20 perlawanan,” katanya.
"Ia adalah tentang untuk turun ke gelanggang dan melihat apa yang berkesan buat kami.
"Tiada formula tertentu untuk anda membina keserasian. Ia adalah perkara yang berlaku secara semula jadi."
Must-Watch Video