Skip to main content

Sukan Lain

Naturalisasi bukan jalan penyelesaian bola keranjang Malaysia

bolakeranjang.jpg
Naturalisasi untuk bola keranjang bukan penyelesaian jangka masa panjang ketika Malaysia kepincangan program pembangunan berkualiti untuk mencabar seteru Asia Tenggara.

Kegagalan skuad lelaki dan wanita dalam Sukan SEA Filipina 2019 memaksa Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) untuk akur dengan kepincangan skuad kebangsaan.

Seteru Asia Tenggara lain seperti Filipina dan Thailand menikmati perkembangan luar biasa hasil pendekatan menyunting bakat naturalisasi dan kacukan.

Ia kelebihan buat mereka apabila beraksi di pentas Sukan SEA dan Sukan Asia.

"Perkara itu bagus tetapi akar umbi adalah perkara yang lebih penting. Negara-negara Asia Tenggara mengambil langkah ini dan mampu berdaya saing dalam kejohanan antarabangsa. Ia adalah jalan penyelesaian jangka masa pendek.

"Perkara paling penting adalah memberikan pengalaman kepada skuad remaja negara dan mendedahkan mereka kepada taktikal dan strategi bagi menghadapi perlawanan bertaraf tinggi," kata bekas pemain kebangsaan, Izran Edika Kamaruddin.

Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) juga sudah mengusulkan cadangan mendapatkan khidmat pemain naturalisasi kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Badan induk sukan negara itu menerusi setiausaha agungnya, Datuk Nazifuddin Najib, bagaimanapun menegaskan beberpa perincian agar inisiatif itu memperoleh manfaat jangka masa panjang.

"Kami telah berbincang mengenai mendapatkan khidmat pemain naturalisasi. Perbincangan terhadap perkara ini masih lagi di peringkat awal dan kami harus meneliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan," kata Nazifuddin.



Editor: Ammar Hakim

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found