Skip to main content

Tenis

Nadal belum mahu fikirkan ranking nombor satu

rafael-nadal-060717.jpg
Rafael Nadal mengakui kepulangannya ke puncak ranking Persatuan Tenis Profesional (ATP) pasti menarik, namun pemenang Grand Slam sebanyak 15 kali itu hanya fokus kepada pertarungan pusingan ketiga Grand Slam Wimbledon. 

Kali terakhir Nadal bergelar pemain nombor satu dunia adalah pada Julai 2014 dan pemain Sepanyol itu berpeluang merampas kedudukan Andy Murray andai dia berjaya mara ke final Wimbledon selepas menjuarai Terbuka Perancis buat kali ke-10, bulan lalu. 

Pemain berusia 31 tahun itu, bagaimanapun, masih berdepan tugas besar apabila akan bertemu pemain Russia yang menjadi pilihan ke-30 kejohanan, Karen Khachanov, selepas menyingkirkan Donald Young 6-4, 6-2, 7-5, malam tadi. 

"Adalah sukar untuk saya memikirkannya ketika ini. Saya hanya mara ke pusingan ketiga dan gembira dengan corak permainan saya. Itu sahaja," kata Nadal kepada wartawan. 

"Sudah tentu lebih baik menjadi pemain nombor satu berbanding nombor dua atau lima. Itu tiada kesangsian lagi. 

"Tetapi dalam masa yang sama, saya mahu melakukan dengan cara saya. Banyak kali saya sudah katakan, dalam karier ketika ini, ranking adalah penting kerana ia sebahagian daripada jelajah kami. 

"Namun apa yang lebih penting buat saya adalah untuk berasa gembira. Apa yang membuatkan saya gembira -- yang pertama adalah kesihatan, kemudian kompetitif dan apabila ia berlaku, barulah saya boleh berjuang untuk perkara lain yang boleh membuatkan saya berasa seronok. Itu sahaja. 

"Kalau saya mengekalkan prestasi seperti dalam enam bulan terakhir ini, saya harap berpeluang untuk berada di ranking teratas."

Begitupun, Nadal yang digelar raja gelanggang tanah liat, berdepan cabaran berbeza ketika beraksi di atas permukaan rumput. 

Walaupun dua kali menguasai gelanggang di All England Club itu  -- 2008 dan 2010 -- Nadal gagal mara ke pusingan keempat sejak 2012. 

"Gelanggang rumput adalah permukaan yang berbeza. Semuanya akan berubah dengan cepat. 

"Saya fikir saya sedang melakukan perkara dengan betul. Saya berasakan saya sedang beraksi dengan baik. Saya akan berdepan lawan sukar, Khachanov. Saya harap dapat bersedia beraksi dengan baik. Saya akan gembira kalau dapat meningkatkan sedikit prestasi. 

"Saya enggan memikirkan sejauh mana kemaraan saya. Satu-satunya perkara yang terlintas adalah di mana saya memenangi satu lagi pertarungan di Wimbledon. 

"Ia memberi makna besar kepada saya. Itulah perjalanan saya dan akan terus mengikutinya."

Advertisement

Must Watch Video