Skip to main content

Sukan Lain

NAAM janji langsai hutang sebelum Sukan SEA

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

abdul-hamid-hasan.jpg
Setiausaha Kehormat Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abdul Hamid Hassan, memberi jaminan baki hutang persatuan itu dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan dilangsaikan sebelum Sukan SEA Filipina, November depan bagi melancarkan penyertaan pemanah negara ke temasya itu.

NAAM antara tiga persatuan sukan kebangsaan yang masih belum melangsaikan hutang dengan MOM sejak Sukan Asia Indonesia, Ogos lalu.

Dua lagi persatuan terlibat ialah Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dan Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF) dengan jumlah keseluruhan mencecah ratusan ribu ringgit.

"Kami sebenarnya sudah menghantar permohonan kepada MOM untuk melakukan pembayaran secara ansuran.

"Kami sudah membayar ansuran pertama dan akan melakukan pembayaran kedua dan ketiga.

"Kami akan menyelesaikannya sebelum Sukan SEA yang akan datang, jadi kami memohon jasa baik daripada MOM," katanya.

MOM memberi amaran bahawa mereka akan menghalang persatuan berkenaan daripada menghantar atlet menyertai Sukan SEA Filipina andai baki hutang itu tidak diselesaikan.

Masalah timbul apabila MOM mendahulukan wang mereka untuk membantu persatuan yang tidak mampu membayar penyertaan atlet di bawah kategori B ke Sukan Asia tahun lalu.

Selepas tujuh bulan, terdapat persatuan yang langsung tidak dapat dihubungi.

Sementara itu, NAAM gembira apabila 341 pemanah negara menyertai Sirkit Remaja Kebangsaan di Kompleks Majlis Sukan Negara Taman Keramat yang bermula semalam.

"Ia merupakan salah satu daripada program pembangunan kami.

"Ia menerima penyertaan yang mengalakkan.

"Dengan adanya kejohanan seperti ini, kami dapat membangunkan sukan memanah dengan mencari bakat-bakat baru dari seluruh negara," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video