Skip to main content

Sukan SEA

Mun Yee tidak kecewa

mun-yee.jpg
Ratu terjun Sukan SEA, Leong Mun Yee, tidak bersedih apabila tidak dapat beraksi dalam Sukan SEA Filipina, November depan sambil menganggap ada hikmah tersembunyi dengan dia kini boleh menumpukan fokus sepenuhnya untuk mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dalam edisi Kuala Lumpur 2017, skuad terjun negara menyapu bersih 12 pingat emas.

Namun, tuan rumah edisi ini, Filipina, hanya menyenaraikan empat acara terjun. 

Dengan ketiadaan acara platform, ia menyaksikan penerjun senior itu tidak akan menyertai temasya berkenaan. 

Walaupun sudah menyertai Sukan SEA sejak lebih dua dekad lalu, Mun Yee tidak berasa sedih dengan situasi itu, sebaliknya menganggap ia sebagai satu peluang untuk menumpukan terhadap kelayakan ke Sukan Olimpik.

Sebagai rekod, penerjun kelahiran Ipoh itu sudah menghimpunkan 16 pingat emas Sukan SEA sepanjang kariernya.

"Tahun ini, kami tidak main Sukan SEA, saya dan Pandelela (Rinong) tidak main Sukan SEA kerana tiada acara platform.

"Kejohanan seterusnya ialah Piala Asia di Bukit Jalil pada September ini.

"Kejohanan itu juga merupakan kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik bagi acara individu," katanya.

Dalam pada itu, jurulatih skuad terjun negara, Li Rui, mahu memperbaiki terjunan Mun Yee dan Pandelela menjelang Kejohanan Terjun Piala Asia di Kuala Lumpur, September ini.

"Sukan SEA kali ini tidak menyenaraikan acara platform, jadi Pandelela dan Mun Yee tidak akan menyertainya.

"Bagaimanapun, mereka boleh menggunakan waktu ini untuk berlatih dan memperbaiki prestasi mereka," katanya.

Advertisement

Must Watch Video