Skip to main content

Sukan Lain

Mun Yee perlu guna peluang latihan di Sichuan

leong-mun-yee.jpg
Penerjun negara, Leong Mun Yee, perlu menggunakan peluang untuk memikat pengendali kebangsaan dalam perebutan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila terpilih menyertai program latihan khas di Sichuan, China, bermula esok.

Hanya tiga penerjun akan dibawa berlatih di Sichuan selama tiga minggu bagi menghadapi Piala Asia di Kuala Lumpur, bulan depan yang menawarkan tiket Olimpik Tokyo dalam acara individu.

Piala Asia juga peluang menguji kedudukan gandingan Mun Yee-Pandelela Rinong dalam acara 10 meter platform terjun seirama apabila turut membabitkan pasangan China dan Korea Utara tatkala hanya pemenang pingat emas akan meraih tiket ke Olimpik.

Lebih menarik, ia peluang untuk atlet berusia 35 tahun itu memikat jurulatih negara kerana slot ke Olimpik Tokyo belum ditentukan.

Justeru, dia perlu menggunakan program latihan di Sichuan sebaik mungkin untuk membentuk persefahaman terbaik dengan Pandelela.

"Perancangan saya adalah memperbaiki teknik dalam terjun seirama memandangkan bulan depan ada Piala Asia. Persiapan kali ini tidak lama, hanya tiga minggu," katanya.

"Setiap atlet ada misi berbeza. Pandelela perlu menaikkan tahap kesukaran dan saya harus sempurnakan terjun seirama."

Nama lain yang bakal menyertai skuad ke China adalah penerjun lelaki, Ooi Tze Liang, yang turut memburu tiket Olimpik Tokyo dalam acara 3m individu papan anjal.
 

Advertisement

Must Watch Video