Skip to main content

Sukan Lain

Mun Yee, Pandelela belum mahu rasa puas

mun-yee.jpg
Atlet terjun negara, Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong, bertekad menggandakan usaha dalam Kejohanan Piala Asia di Kuala Lumpur sebagai langkah untuk mengisi slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) sendiri yang akan menentukan siapa bakal dipertaruhkan di Tokyo meskipun kedua-dua atlet itu telah mengesahkan tempat lebih awal.

Justeru, walaupun pasangan itu meraih pingat perak dalam acara terjun 10 meter platform seirama dalam Kejohanan Akuatik FINA Ke-18 di Gwangju, Korea Selatan, mereka tetap mahu mempamerkan aksi terbaik bagi mengukuhkan tempat menjelang saingan yang berbaki setahun lagi itu.

"Sebelum ini, kami sudah bersedia daripada segi mental dan meraih tempat kedua. Kami sangat gembira," kata Mun Yee.

"Jurulatih memberitahu agar kami bercuti seminggu, kemudian baru berlatih seperti biasa. Mungkin saya akan fokus terjunan baru bagi memberi saingan lebih sengit kepada pencabar dari negara lain," tambah Pandelela.

Sementara itu, Wendy Ng Yan Yee turut meraih slot ke temasya berprestij itu selepas layak ke pusingan akhir acara 3m papan anjal individu wanita di Gwangju. 

Baginya, ia merupakan langkah positif dan suntikan semangat untuk menghadapi kejohanan seterusnya, sekali gus bangkit menempa nama di persada dunia. 

"Latihan bermula dari mula. Saya tidak menyangka akan layak kali ini kerana baru pulih daripada pembedahan. Saya bersyukur dapat meraih slot ini," katanya.

Advertisement

Must Watch Video