Skip to main content

Sukan SEA

Muay: Sharizal tekad bersara dengan emas

27817sharizal.jpg
Atlet muay negara, Tengku Sharizal Mohd Noor Azam, menyimpan impian besar untuk mengakhiri Sukan SEA Ke-29 dengan pingat emas menjadi sasarannya sebelum bersara.

Sharizal, 32, yang bersama dengan skuad kebangsaan sejak 2013, mengimpikan satu kejayaan bermakna dalam temasya ini sebelum mengundur diri daripada sukan tersebut.

Dalam aksinya menerusi acara 67kg di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini, pegawai polis berkenaan berjaya mengalahkan Raymond Robert dari Indonesia 30-27 untuk melangkah ke pusingan separuh akhir.

"Pertandingan ini sangat bermakna kerana ia mungkin kejohanan terakhir kerana saya sudah mencecah usia 32 tahun. Dalam sukan muay, ia sudah tidak sesuai," katanya.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Amirul Arrifin, tewas 27-30 kepada peserta Kemboja, Khun Dima, dalam kategori 63.5kg.

Sepakan Khun yang terkena mata Amirul dalam pusingan pertama ternyata memberikan kecederaan, sekaligus menafikan impian atlet negara itu untuk mara ke pusingan seterusnya.

"Saya cedera dalam pusingan pertama. Mata saya terkena kakinya sehingga menyebabkan pandangan mata saya kabur," katanya.

Advertisement

Must Watch Video