BOLA BALING
MSSM: Tahun ini kami bangkit -- MSS Johor ikut jejak Kelantan ke suku akhir
Majlis Sukan Sekolah Kelantan mengesahkan tempat ke suku akhir Kejohanan Bola Baling Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dalam kategori perempuan B-18 selepas berjaya atasi Majlis Sekolah Sukan Perlis dengan keputusan selesa 20-4.
Meskipun terpaksa akur tewas dalam perlawanan sulung peringkat kumpulan kepada MSS Pahang semalam, Kelantan yang turun dengan status selaku juara bertahan mempamerkan corak permainan agresif dengan menguasai keseluruhan permainan.
Kemenangan itu menyaksikan Kelantan akan mengiringi Pahang ke suku akhir selaku naib juara Kumpulan J.
Iklan
"Berpuas hati kerana kami beraksi dengan satu hati, negeri lain juga pamer peningkatan. Kami lakukan terbaik dan kami akan cuba sehabis baik (untuk bergelar juara)," kata pemain MSS Kelantan, Raja Nur Arissa Aina.
Dalam satu lagi aksi tumpuan, kejutan berlaku apabila naib juara tahun lalu, MSS Selangor terpaksa akur tewas kepada MSS Johor dalam aksi terakhir Kumpulan K sekali gus gagal mara ke saingan suku akhir.
Kerapuhan benteng pertahanan Selangor dimanfaatkan sebaik mungkin pasukan Johor untuk menoktahkan kemenangan dengan keputusan muktamad 15-13.
"Tahun ini kami mahu bangkit untuk mara ke final, kami sangat yakin dengan kemampuan pasukan kami dan sedia bersaing dengan mana-mana pasukan." tambah pemain MSS Johor, Jacinta Dhofwatul'aisy.
Must-Watch Video