Skip to main content

Sukan SEA

MSN tentukan nasib jurulatih ping pong

ping-pong-beh-lee-wei.jpg
Majlis Sukan Negara (MSN) bakal mengadakan pertemuan dengan tiga pemain ping pong di bawah kendalian Beh Lee Wei sebelum menentukan status jurulatih kebangsaan itu. 

Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) sebelum ini telah memberi cadangan kepada MSN untuk menamatkan kontrak Lee Wei sebagai jurulatih di bawah Program Podium. 

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, menjelaskan keputusan akan dibuat selepas pertemuan bersama Karen Lyne, Ho Ying dan Alice Chang Li San diadakan.

"Kami telah bersetuju untuk mendapatkan maklum balas daripada tiga atlet ping pong mengenai keputusan yang mahu diambil TTAM.

"Kami akan berbincang dengan persatuan tentang peralihan yang akan berlaku, iaitu mengenai program latihan (yang sudah diaturkan) Beh Lee Wei untuk digalas jurulatih lain yang akan dikenal pasti pihak persatuan," ujarnya. 

Sementara itu, Naib Presiden TTAM, Dr. Chin Kuen Liang, enggan mengulas lanjut mengenai isu ini sehingga ia diselesaikan.

TTAM menyenaraikan lapan pemain yang akan dipertaruhkan dalam Sukan SEA Filipina 2019, November depan dengan meletakkan sasaran pingat gangsa dalam acara berpasangan wanita.

"Kami meletakkan sekurang-kurangnya meraih gangsa menerusi skuad wanita, malah wakil bahagian lelaki juga berpeluang untuk menang kerana baru meraih gangsa dalam Kejohanan Komanwel di India, bulan lalu dengan mengalahkan Nigeria yang di kedudukan ranking yang lebih tinggi," kata Kuen Liang.  

Advertisement

Must Watch Video