Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

MSA buru dua lagi slot ke Tokyo 2020

khairulnizam.jpg
Dengan dua slot Sukan Olimpik 2020 sudahpun terjamin, Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) kini menumpukan usaha memburu sekurang-kurangnya dua lagi slot bagi menjadikan jumlah penyertaan atlet pelayaran ke Tokyo yang paling tinggi dalam sejarah penyertaannya.

Khairulnizam Afendy dan Nur Shazrin Mohd Latif menjadi dua atlet pertama negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 ketika sukan lain yang menjadi sandaran utama seperti badminton, berbasikal serta terjun masih mengharungi proses kelayakan.

Khairulnizam dan Shazrin masing-masing melayakkan diri ke Tokyo dalam acara laser standard dan laser radial.

Justeru, Majlis Sukan Negara (MSN) dan MSA berusaha keras bagi memastikan jumlah yang layak ke Olimpik bakal meningkat.

"Kami sedang berusaha untuk melayakkan dua lagi acara, iaitu wind surfing dan 470. Malaysia memiliki atlet yang berpotensi untuk layak ke Sukan Olimpik," kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Antara acara yang menjadi sasaran kelayakan ke Sukan Olimpik 2020 ialah International 470 lelaki dan wanita  serta wind surfing.

Shapawi yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pelayaran MSN-MSA turut menegaskan perancangan skuad pelayaran berjalan lancar bagi mengharungi Sukan SEA Filipina, November depan.

"Kami selalunya menyertai setiap acara yang dipertandingkan. Kami telah mendapat gambaran acara yang dipertandingkan dan berusaha untuk mengulangi pencapaian Kuala Lumpur 2017," katanya.

"Kami masih berpeluang dalam beberapa kejohanan untuk cuba melayakkan diri dalam kelas 470 lelaki dan wanita. Jadi, diharapkan kedua-dua pasangan itu berusaha keras untuk ke tokyo 2020," katanya. 

Sementara itu, Shapawi juga mengumumkan barisan skuad pelayaran negara bebas daripada sebarang kecederaan menjelang Sukan SEA Filipina November ini dengan Kejohanan Pra-Sukan Asia, di Jakarta bulan depan dan Kejohanan Dunia di Denmark Ogos ini menjadi medan mengukur prestasi pelayar negara.

"Buat masa ini, kami mengutamakan kejohanan pendedahan buat atlet negara. Kami akan memberikan tumpuan kepada acara laser yang masih belum layak ke Sukan Olimpik. Selain itu, hanya pertandingan pendedahan dalam negara akan diberikan atlet negara," tambah Shapawi.
 

Advertisement

Must Watch Video